PETALING JAYA, 13 Ogos (Bernama) — Ketua Polis Negara hari ini meminta agar semua pihak tidak mengambil tindakan yang boleh merosak dan memecah belahkan perpaduan kaum di negara ini.
Tan Sri Ismail Omar berkata perkara itu sangat penting dalam mengekalkan keamanan di negara ini.
“Kita harap jangan ada pihak yang cuba memecah belahkan keharmonian kaum di negara ini, kita sudah berpuluh tahun tinggal bersama-sama dan menghormati sesama kaum.
“Malah kita juga saling menghormati antara berlainan bangsa, kepercayaan agama di negara ini, jadi kita kena meneruskanlah perkara itu,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa dan Pelancaran Kempen Balik Kampung Rumah Selamat di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di sini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai isu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu majlis anjuran Gereja Methodist Damansara Utama di sini baru-baru ini.