UMUM mengetahui dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, sekurang-kurangnya 95% kaum Cina mengundi Pakatan Harapan (PH). Mereka akan memilih mana-mana calon yang mewakili PH sama ada calon itu Melayu, Cina, India atau lain-lain. Corak pengundian kaum Cina ini di seluruh negara hampir sama, tidak kira di bandar atau di luar bandar. Begitu juga corak pengundian mereka tidak dibezakan sama ada seseorang itu Buddha, Taoism dan Kristian. Malah yang lebih menarik, diyakini ahli-ahli MCA dan Gerakan turut mengundi PH sekali gus menyebabkan parti yang mereka anggotai kalah teruk. Demikianlah kesatuan kaum Cina untuk mencorakkan politik Malaysia mengikut hasrat yang mereka kehendaki.
Kaum Cina menyedari, komposisi mereka yang tidak sampai 30% tidak memberi apa-apa kesan kepada corak politik Malaysia sekiranya mereka tidak bersatu. Taburan demografi mereka pula tidak sekata, tertumpu di kawasan-kawasan tertentu khususnya di Kawasan bandar dan Pantai Barat Semenanjung. Kerusi-kerusi parlimen yang bermajoriti kaum Cina adalah sekitar 33 kerusi, begitu jauh untuk mereka membentuk kerajaan dengan majoriti mudah. Manakala di kerusi-kerusi marginal yang jumlah kaum mereka agak tinggi juga, sekiranya undi mereka berpecah kepada DAP dan MCA atau Gerakan, berkemungkinan kerusi ini terlepas kepada calon kaum lain. Oleh sebab itu, kesatuan adalah formula yang tidak boleh dielak.
Adalah diyakini, kaum Cina mempunyai mekanisme tersendiri untuk memastikan pada setiap kali PRU, mereka bersatu untuk mengundi mengikut corak tertentu. Dengan mekanisme itu, pengundi-pengundi dari kalangan kaum Cina tahu parti mana yang mereka perlu pilih sama ada DAP atau MCA atau Gerakan. Mereka juga tahu sama ada untuk memilih Barisan Nasional (BN) atau PH atau PAS (Gagasan Sejahtera). Pada PRU10 tahun 1999 dan PRU11 tahun 2004, mereka bersatu mengundi BN. Kemudian pada PRU12 tahun 2008 dan PRU13 tahun 2013, mereka bersatu pula menolak BN dan mengundi pembangkang. Jarang sekali kita dapati, kaum Cina mengundi mengikut corak yang tidak sekata dalam PRU-PRU yang lepas.
Persoalannya, adakah sikap kaum Cina ini boleh dianggap rasis atau perkauman? Jawapannya terpulang kepada masing-masing, boleh jadi ada yang menganggapnya perkauman dan ada yang menganggapnya tidak. Sesetengah pihak menganggapnya rasis kerana mereka hanya mementingkan hasrat yang mereka mahu capai daripada kerajaan yang dipilih bukannya melihat kepada hasrat nasional. Manakala ada pihak yang lain menganggapnya bukan rasis, kerana memang menjadi sikap semulajadi kaum yang minoriti perlu bersatu untuk memastikan kepentingan mereka tetap terjamin. Dengan sebab itu, hampir mustahil kaum Cina akan mengundi calon Melayu di kawasan bermajoriti Cina seperti Bukit Bintang, Seputih dan lain-lain.
Situasi ini begitu berbeza dengan kaum Melayu-Muslim, sebarang seruan ke arah kesatuan akan dianggap rasis atau perkauman. Mana-mana tokoh atau pihak yang menyeru digemblengkan kesatuan umat Melayu akan terus dilabel rasis termasuk oleh segelintir Melayu-Muslim sendiri. Kecuali selepas Tragedi 13 Mei 1969, apabila PAS dan Umno bersama membentuk BN sehingga tahun 1978, seruan ke arah kesatuan umat Melayu dianggap satu yang begitu perlu. Dengan kesatuan tersebut, maka agenda-agenda besar untuk kepentingan kaum Melayu-Muslim dapat dilaksana malah turut membantu mengharmonikan semua kaum. Mungkin hanya ketika situasi ini seruan ke arah kesatuan umat Melayu dilihat tidak rasis.
Di ambang PRU14 yang lalu, secara umumnya melihat bahawa kaum Melayu-Muslim berpecah kepada empat golongan iaitu Umno, PAS, PPBM dan PKR/PAN. Perpecahan itu dari satu sudut dianggap sebagai kelemahan kaum Melayu-Muslim sendiri yang tidak dapat menguruskan perbezaan, tetapi dari satu sudut yang lain mungkin juga strategi pihak-pihak tertentu yang melaksanakan amalan ‘pecah dan perintah’. Berdasarkan keputusan PRU14, secara kasarnya boleh dianggarkan Umno memiliki 42% sokongan kaum Melayu-Muslim, PAS pula memiliki 33%, PPBM memiliki 15% dan PKR/PAN memiliki 10%. Sekiranya sokongan yang dimiliki oleh Umno dan PAS diselaraskan berkemungkinan situasi pasca PRU14 adalah berbeza.
Sebelum PRU14, usaha-usaha awal cuba dilakukan untuk menarik PPBM untuk tidak pergi kepada PH, sebaliknya bersama dengan PAS dan IKATAN dalam Gagasan Sejahtera (GAGASAN). Sekiranya usaha ini berjaya, diyakini GAGASAN dapat mengimbangi kemenangan BN dan sekaligus menyekat kemaraan DAP yang umum mengetahui mendominasikan PH. Dengan jumlah sokongan pengundi Melayu-Muslim yang dimiliki oleh PAS dan PPBM iaitu sekitar 48% (33% + 15%), besar kemungkinan keputusan PRU14 yang dilihat baru-baru ini tidak akan berlaku. Bagaimanapun, usaha-usaha itu gagal sehingga menyebabkan situasi politik tidak menentu berlaku pada ketika ini.
Sekiranya sebelum PRU14 berlaku persefahaman (bukan penggabungan) atau electoral pack antara Umno dan PAS, diyakini situasi politik tidak menentu pada hari ini juga tidak akan berlaku. Persefahaman kedua-dua parti Melayu-Muslim terbesar ini akan mengumpulkan tidak kurang 75% sokongan kaum Melayu-Muslim. Melalui persefahaman ini, Umno dan PAS tidak perlu bergabung malah terus bertanding antara satu sama lain. Apa yang perlu dilakukan, kedua-dua parti mengelakkan bertembung di sejumlah kerusi tertentu untuk mengelakkan PH menang. Sudah pasti persefahaman seperti ini adalah sebuah mimpi ngeri kepada PH justeru mereka terus menyerang usaha ini dengan pelbagai tohmahan.
Memang benar pandangan banyak pihak, kesatuan umat Melayu adalah sesuatu yang cukup mahal untuk dicapai. Kesatuan itu hanya dirindui bila berlaku Peristiwa Penentangan Malayan Union atau insiden yang seumapamanya. Golongan yang cuba memupuk kesatuan umat Melayu akan dituduh dengan pelbagai tohmahan seperti rasis atau perkauman, tiada semangat negara bangsa, berada dalam tempurung, tidak terbuka dan sebagainya. Meskipun, Islam yang menjadi pegangan kaum Melayu-Muslim adalah sangat menekankan kesatuan berteraskan Ukhuwah Islamiyah, prinsip seumpama itu tidak memberi pengaruh melainkan bila kaum Melayu-Muslim memang merasa rindu dengan kesatuan itu.
Suasana Pasca-PRU14 telah memperlihatkan siapa PH sebenarnya. Mereka bukan sahaja tidak menepati janji manifesto mereka kepada rakyat, tetapi sudah mula bertindak seperti anai-anai mahu meruntuhkan tiang-tiang seri pembinaan negara Malaysia. Usaha sudah mula dilakukan untuk meletakkan taraf kedudukan Islam di Malaysia sama dengan agama-agama lain. Desakan juga telah dicetuskan untuk mengganggu-gugat Institusi Raja. Kedudukan Bahasa Melayu pula sudah semakin diperkecilkan dalam urusan rasmi dan dasar pendidikan. Hak istimewa bumiputera semakin dicemburui apabila timbul suara-suara sumbang mempersoalkannya. Adakah perkembangan-perkembangan ini menggamit rindu kaum Melayu-Muslim bersatu?
Ketika persoalan ini berlegar, berlaku Pilihanraya Kecil (PRK) Sungai Kandis. DUN ini mempunyai hampir 73% pengundi Melayu-Muslim, iaitu ini komposisi yang signifikan untuk melihat adakah situasi menggamit rindu ini sudah berlaku? Dalam konteks PRK ini, ‘persefahaman’ dilihat sudah berlaku, iaitu apabila PAS tidak bertanding. Tindakan seperti ini berkemungkinan dapat mengelakkan pengundi Melayu-Muslim agar tidak lagi menjadi mangsa amalan ‘pecah dan perintah’. Sekarang terpulang kepada pengundi-pengundi Melayu-Muslim di Sungai Kandis. Merekalah yang yang sewajarnya menjawab soalan ini, jika pengundi Cina boleh bersatu, mengapa pengundi Melayu tidak boleh?
…………………
https://pakdin.my/tag/melayu