Pengguna jalan raya di sekitar kawasan Ampang di ibu negara pada Khamis malam dikejutkan dengan insiden sebuah bas yang dipandu laju hingga merempuh beberapa buah kenderaan lain.
Insiden itu dipercayai bermula di kawasan Keramat berdekatan dengan sebuah kilang pemproses produk farmaseutikal di Keramat hinggalah berakhir di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
Insiden itu mula menjadi kecoh dan tular di media sosial apabila rakaman orang awam yang dipercayai menunggang motosikal cuba mengejar bas tersebut.
Kekecohan di sepanjang laluan itu dirakamkan oleh orang awam yang turut mengejar bas berkenaan.
Dalam video tersebut, bas yang dipandu secara semberono itu juga akhirnya terhenti setelah terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
Pemandu bas tersebut juga telah ditahan oleh orang awam sementara menunggu kedatangan pihak berkuasa.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya mengesahkan kejadian tersebut.
“Insiden itu bermula dari kawasan berdekatan kilang Texas Instruments di Keramat, sebelum bas itu meluru masuk ke arah Jalan Jelatek dan membelok ke Jalan Ampang menuju Ampang Point.
“Ia melibatkan sebuah bas dan tujuh kenderaan lain. Setakat ini (maklumat) tentang kecederaan masih belum diketahui. Siasatan masih dijalankan,” ujarnya.
https://youtu.be/3PFTj_2Cly0