KANOWIT, 16 Ogos — Semua pekan terpencil dan rumah panjang yang jauh di pedalaman harus dilengkapi kemudahan memadamkan kebakaran bagi mengelakkan tragedi seperti di pekan Nanga Machan baru-baru ini.
Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Sarawak Tan Sri William Mawan berkata kelengkapan itu juga harus diselenggara setiap masa oleh pihak berkaitan bagi memastikan peralatan terbabit sentiasa dalam keadaan baik.
“Saya percaya jika penduduk diberi latihan asas mencukupi, mereka boleh mengendalikan kemudahan memadamkan kebakaran itu dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pekan Nanga Machan, dekat sini.
Pekan kecil itu musnah dalam kebakaran kira-kira 2.40 pagi, 10 Ogos lepas, menyebabkan 60 penduduknya tinggal sehelai sepinggang dengan kerugian RM5 juta selepas 10 unit kedai kopi dan kedai runcit hangus dijilat api.
Mawan berkata reka bentuk rumah panjang yang baru dibina boleh menghalang kebakaran merebak, namun pekan lama seperti Pakan dan Julau yang jauh terpencil masih terdedah kepada bahaya itu.
Beliau seterusnya mencadangkan lebih banyak unit motosikal Jabatan Bomba dan Penyelamat yang boleh bertindak pantas diwujudkan, kerana mereka berupaya memasuki kawasan terpencil dengan cepat berbanding jentera biasa.
Semasa lawatannya itu, Mawan yang juga Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak menyampaikan sumbangan RM20,000 untuk membantu mangsa kebakaran terbabit.
Beliau juga menyumbangkan RM20,000 untuk mangsa kebakaran dari Rumah Panjang Perpetua Lika di Nanga Bejait. Rumah panjang 29 pintu itu musnah dalam kebakaran 26 Julai lepas.