PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Selangor akan mempersembahkan laporan lengkap berhubung pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) baru-baru ini kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya kini masih menunggu laporan berhubung insiden berkenaan yang kini sedang disiapkan oleh JAIS.
“Laporan lengkap pemeriksaan JAIS di gereja sedang disiapkan dan akan dipersembahkan kepada Tuanku Sultan Selangor,” katanya yang dipetik menerusi laman sosial twitter pada Isnin.
Sebelum ini Abdul Khalid berkata laporan tersebut dijangka siap sepenuhnya dan diserahkan kepada kerajaan negeri selepas sambutan Aidilfitri.
Laporan terperinci yang diminta termasuklah hasil siasatan dan soal jawab 12 orang Islam yang dikatakan terlibat serta salinan barang kes yang telah diperolehi hasil dari pemerikasaan.
Menurutnya kerajaan negeri difahamkan JAIS mengalami kesulitan mendapatkan keterangan dari 12 individu Islam yang menyertai upacara ‘Thanks giving’ di DUMC atas nasihat peguam masing-masing.
Terdahulu, pada 3 Ogos lalu, pasukan penguat kuasa Jais menjalankan pemeriksaan ke atas gereja itu susulan aduan wujud gerakan memurtadkan orang Islam.
Bagaimanapun, pemeriksaan gereja tersebut menjadi isu hangat apabila Abdul Khalid memberikan kenyataan yang bercanggah dengan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali.
Abdul Khalid menyatakan kekesalan dengan insiden itu dan mahu laporan penuh diberikan kepada beliau sementara Hasan pula menyokong tindakan JAIS yang membuat pemeriksaan selepas mendapat bukti berlaku penyebaran agama bukan Islam ke atas penganut Islam.
Keadaan bertambah panas apabila Abdul Khalid dikatakan meminta semua Exconya tutup mulut mengenai pemeriksaan tersebut sementara Hasan pula sanggup dipecat kerana melanggar arahan itu apabila mengeluarkan kenyataan menyokong JAIS.