Pertemuan antara PAS dan Jabatan Agama Islam Selangor, JAIS, berhubung isu serbuan ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya, yang dijadualkan siang tadi, dibatalkan atas nasihat Sultan Selangor.
Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, baginda menasihatkan JAIS agar tidak bertemu dengan mana-mana pihak, bagi menjaga maklumat siasatan kes berkenaan.
Sehubungan itu, PAS berharap pertemuan itu akan dapat diadakan semula, selepas JAIS menyelesaikan siasatannya yang dijadual selepas Aidilfitri ini.
Sementara itu di Kuala Terengganu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, parti itu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam soal akidah umat Islam di negara ini.
Sehubungan itu, tegasnya, PAS tidak akan bertolak ansur atau melindungi sesiapa pun yang berusaha untuk memurtadkan orang Islam, kerana tindakan itu bercanggah dengan prinsip Islam dan perlembagaan negara.
Justeru beliau meminta pemimpin dan anggota PAS supaya tidak terbabit dengan isu pemeriksaan pegawai JAIS di gereja Methodist Petaling Jaya, 3 Ogos lalu.