e-SPPST tak boleh diceroboh
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai sistem pangkalan data pemilih yang kebal dan tidak boleh diceroboh oleh mana-mana pihak untuk mendaftarkan warga asing sebagai pengundi seperti mana didakwa pembangkang.
Menerusi Sistem Pendaftaran Pemilih Sepanjang Tahun (e-SPPST) yang digunakan SPR sejak 2002 itu, ia boleh mengesan cubaan pihak tertentu untuk mendaftar warga asing sebagai pemilih, sekali gus menyekat pendaftaran berkenaan.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata hakikatnya tiada ruang untuk pihak tertentu menipu seperti mana didakwa pembangkang dan SPR sentiasa memantau serta membersih senarai pemilih dari semasa ke semasa.
“Sistem diguna pakai sejak 2002 ini kalis penipuan dan tidak akan membenarkan sesiapa saja yang tidak layak menurut Perlembagaan didaftar sebagai pemilih. Melalui pengesanan angka 12 digit bukan warga negara cuba didaftar sebagai pemilih akan dikesan serta disekat.
“Bukan itu saja, sistem ini juga hanya boleh diakses oleh warga negara saja, jadi dakwaan bahawa SPR terbabit dengan cubaan mendaftar warga negara asing sebagai pemilih itu adalah satu tuduhan yang tidak berasas yang dibuat tanpa merujuk kepada SPR terlebih dulu.
“Saya nasihatkan parti politik jika ada satu penemuan yang boleh mengundang kesangsian datang jumpa SPR dan kita boleh bagi penjelasan. Jangan cepat buat rumusan tidak benar semata-mata mahu menarik perhatian rakyat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Sebelum ini, pembangkang melalui beberapa portal berita melaporkan seorang warga negara Indonesia dikenali sebagai Mismah, 47, didakwa mendapat kerakyatan dalam tempoh empat jam dan diupah oleh Barisan Nasional (BN) supaya mendaftar sebagai pengundi.
Sehubungan itu, Mismah tampil memperbetulkan keadaan sekali gus menyangkal dakwaan pihak pembangkang bahawa wujud konspirasi antara Jabatan Penerangan Negara (JPN) dan SPR bagi mendaftar warga asing sebagai pengundi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.
Sementara itu, Wan Ahmad berkata, SPR sentiasa mengalu-alukan pertemuan dengan mana-mana parti politik untuk berbincang dan mengemukakan sebarang permasalahan bagi mencari jalan penyelesaian yang boleh memuaskan hati semua pihak.
“Sekiranya sah seseorang itu tidak layak untuk mengundi kita akan keluarkan daripada senarai pemilih, sehingga kini dalam daftar pemilih kita ada 12.3 juta pengundi,” katanya.
Jumlah pemilih berdaftar bagi seluruh negara setakat ini ialah lebih 12 juta, demikian menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
SPR dalam kenyataan berkata jumlah itu termasuk Daftar Pemilih Induk Tahun 2010 dan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Kedua 2011 (DPT ST2/2011) yang akan diwartakan Selasa.
Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Kedua 2011 mengandungi 257,557 nama pemilih yang terdiri daripada 201,339 nama pemilih baru dan 56,218 nama pemilih yang menukar alamat pusat mengundi.
Menurut kenyataan itu, sepanjang tempoh pameran Rang DPT ST2/2011 dari 27 Julai 2011 hingga 2 Ogos 2011, SPR menerima 524 tuntutan melibatkan Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.27 Tanah Merah, Kelantan yang mana kesemua kes tuntutan itu belum diselesaikan.
Katanya SPR juga telah menerima bantahan melibatkan 45 bahagian pilihan raya Parlimen dan kesemua bantahan itu juga belum diselesaikan.
“Bantahan tersebut melibatkan 110,242 permohonan yang terdiri daripada 89,193 permohonan pendaftaran baru dan 21,049 permohonan bertukar alamat pusat mengundi. Kesemua permohonan ini akan diperakukan setelah semua kes bantahan diselesaikan,” kata kenyataan itu.