Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa agenda pemulihan dan hala tuju parti akan dilakukan secepat mungkin selepas ianya berjalan perlahan dan mengundang rasa tidak selesa serta mewujudkan satu ketidakpastian yang merugikan semua pihak.
“Sejak empat bulan yang lepas proses membaik pulih UMNO pasca PRU-14 dan penetapan haluan yang jelas untuk parti berjalan dengan sedikit perlahan dan tidak serancak atau radikal seperti yang diharapkan oleh semua pihak.
“Saya ingin tegaskan bahawa perkara ini akan diberikan perhatian dan penekanan yang serius selepas ini demi memastikan UMNO tidak kelihatan sebagai parti tanpa haluan atau tersasar dari landasan perjuangannya.
“Malah, saya percaya wujud keperluan mendesak untuk agenda pemulihan dan hala tuju parti dikongsikan dengan semua dalam tempoh yang segera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohamad mengulas keputusan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapha Mohamed dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman yang bertindak meninggalkan parti itu.
Menurutnya, kepimpinan UMNO amat prihatin dengan perkembangan ini dan agenda pemulihan dan hala tuju parti akan dilakukan secepat mungkin.
“Saya amat berharap yang segenap ahli, pendukung dan kepimpinan UMNO amat terus memberi sokongan penuh kepada parti, khususnya dalam tempoh yang mencabar ini.
“Semoga usaha kita memulihkan UMNO dan kewibawaannya akan berjalan lancar dan UMNO kembali diyakini dan menjadi pilihan,” katanya.