Saya membaca perdebatan berkaitan ‘malu apa bossku’, ada yang mengatakan bahawa malu adalah sebahagian dari iman… orang yang tak malu hilang separuh iman.
Dan mengaitkannya dengan tagline baru yang dipopularkan oleh DS Najib dan macam biasa menggunakan agama untuk menghukum.
Sebenarnya, maksud itu difahami di luar konteks.
Malu apa bossku asalnya tagline kumpulan motor cc rendah yang menjadikannya sebagai slogan perjuangan ketika berdepan geng-geng motor cc besar.
Malu apa bossku adalah tentang perbezaan kelas.
Kumpulan marhean dan pekerja kelas bawah yang mahu meraikan kehidupan seperti kumpulan kelas menengah dan borjuis.
Malu apa bossku adalah slogan perlawanan antara kelas. Tentang anak kampung yang bermain dengan kerbau bukan gajet. Tentang peneroka yang motor ditarik tauke kedai kerana sudah lapan bulan tak bayar.
Tentang orang-orang yang cuba bersikap positif ketika hilang pekerjaan, hilang jawatan, hilang kerajaan.
Malu apa bossku bukan soalan suruh orang jangan malu buat dosa atau maksiat.
Jika orang2 kelas menengah dan borjuis percaya begitu… maka mereka telah melihat dari luar konteks.
Malu apa bossku adalah tentang jurang kelas yang semakin terasa ketika kek ekonomi semakin mengecil.
Mereka cuba bertahan dan mengatasi rasa rendah diri dengan slogan ini.
Mungkin nanti, jika isu-isu antara kelas ini tidak selesai, maka Malaysia seperti juga beberapa negara Eropah bakal menyaksikan kebangkitan ‘yellow vest’ di negara ini.
Mungkin ya, mungkin tidak… masa akan memberitahu. Tapi mengaitkan malu apa bossku dengan persoalan hukum adalah sangat tersasar dari maksud sebenar. – OLEH HELME HANAFI