Selepas berkempen dengan gayanya sendiri pada dua pilihan raya kecil, Datuk Seri Najib Razak kini diundang bercakap di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Bekas perdana menteri itu, yang terkenal dengan slogan “malu apa bossku”, dijadual berucap di aras lima bangunan Pusanika kampus tersebut jam 3.30 petang Jumaat ini.
Pelajar-pelajar yang awal hadir dalam acara Sembang Santai Bossku anjuran Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) akan mendapat pelekat dan baju T “bossku”.
Menurut iklan di Facebook PMUKM hari ini, sesiapa yang berminat bertanya kepada Najib boleh menulis soalan lebih awal melalui borang yang disediakan di media sosial itu.
Kehadirannya di sebuah pasar raya dalam kawasan kerusi Semenyih pada 14 Februari lalu, dua hari sebelum penamaan calon, dikatakan mendapat sambutan hangat.
Selepas berceramah di Bandar Tasik Kesuma pada malam Ahad lalu, beliau melawat Pekan Rabu Beranang hari ini, dalam rangka kempen bagi calon Barisan Nasional.