1 Syawal hari ini disambut umat Islam di seluruh negara dalam suasana penuh meriah.
Meneruskan tradisi dan budaya rakyat Malaysia, amalan rumah terbuka di-anjur dengan kunjung-mengunjung bagi mengeratkan lagi tali silaturahim.
Lebih istimewa, Aidilfitri kali ini turut diraikan bersama sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-54 esok.
Menjadi kelaziman, masjid menjadi tumpuan jutaan umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri pada pagi Syawal.
Di ibu negara, Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara, bersama kira-kira 15 ribu jemaah.
Turut mengiringi, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa menteri kabinet.
Di Kota Bharu, Sultan Muhammad kelima, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Muhammadi.
Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Raja Muda, Raja Doktor Nazrin Shah pula menyertai ribuan umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar.
Di Melaka, lebih 10 ribu umat Islam bersama Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob menunaikan solat Aidil fitri di Masjid Al-Azim Bukit Palah.
Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Jamek, Petra Jaya.
Manakala Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah berangkat menunaikan-nya di Masjid Zahir, Alor Setar.
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah serta kerabatnya, menunaikannya di Masjid Sultan Ahmad Shah, Kuantan.