Walau dimana sahaja berada Aidilfitri tetap diraikan, biarpun di hutan belantara.
Bagi anggota Pasukan Tentera Darat, itu semua bukan halangan demi tugas dan keselamatan negara.
Ikuti suasana hari raya dirakam krew kami di pos tentera di Serudong, dekat sempadan Sabah, Kalimantan Timur, Indonesia.
Lokasi pos tentera Serudong ini jauh di tengah belantara Sabah.
Perjalanan dari Tawau hampir dua jam merentas laut dan sungai.
Pos ini menempatkan anggota dari Batalion Ketujuh dan 22, Rejimen Askar Melayu Di Raja, Markas Lima Briged, Kem Lok Kawi, Sabah.
Menerusi Ops Belasah, mereka ditugaskan mengawal sempadan Sabah-Kalimantan Timur sepanjang masa.
Ia bagi mengekang pencerobohan termasuk pendatang tanpa izin serta mencegah pembalakan haram dan penyeludupan.
Apapun, Aidilfitri tetap disambut dalam suasana apa yang ada.
Juadah wajib hari raya, lemang, ketupat dan rendang tetap disediakan.
Manakala kuih raya pula sumbangan Bakti dan Bakisa.
BRIGADIER JENERAL DATUK ABDUL HALIM JALAL / PANGLIMA 5 BRIGED
Jadi pada sebilangan masa, setiap hari, 365 hari anggota daripada 5 briged akan sentiasa berada di sempadan Sabah dan Kalimantan untuk menentukan keselamatan dan kesejahteraan persempadanan kita dengan negara jiran.
LEFTENAN KOLONEL MOHD YUSRI ABDUL MANAP / PEGAWAI MEMERINTAH BATALION 22 RAMD
Saya telah melaksanakan operasi ini sejak tahun 86 lagi dan dah berhari raya di kawasan operasi lebih kurang 5 kali dan pada tahun lepas saya berhari raya dengan anggota di sektor Kalabakan dalam Ops Belasah.
LANS KOPRAL ZULKIFLI MOHD TAJAM / ANGGOTA ATM
Berhari raya di kawasan operasi selama 10 kali dah, perasaan tu mula-mula tu memang agak ingatlah kepada kampung, keluarga tapi dah biasa sekarang ni dah tak ada apa dah, demi tugas.