KUALA LUMPUR, 3 Sept — Jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor, 39, yang maut akibat terkena tembakan peluru sesat semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia, pernah mengikuti misi seumpama itu di negara lain sebelum ini.
Bapa Allayarham, Mohd Nor Mat Yassin, 66, berkata anaknya itu pernah ke luar negara untuk membuat liputan misi kemanusiaan ke Gaza, Palestin dan Pakistan.
Katanya, sebelum anaknya berlepas ke Somalia pada 28 Ogos lepas, beliau kelihatan seronok dan memberitahunya mengenai tujuannya ke Somalia bersama Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia.
“Beliau juga seorang yang memang meminati kamera dan kerja sukarelawan. Sudah minat dia begitu. Cuma bila terjadi perkara begini, saya tak sangka tapi kami redha dan menerimanya,” katanya kepada Bernama di kediamannya di Taman Serdang Raya, di sini, Jumaat malam.
Sementara itu, ayah saudaranya, Tajuddin Abdul Majid, 60, berkata Allahyarham adalah seorang yang periang dan aktif.
Noramfaizul yang dilahirkan pada 14 Nov 1971 merupakan anak sulung daripada enam adik beradik.
Ahli keluarga Allahyarham telah ramai berkumpul di rumah bapanya sebaik menerima berita kematian Noramfaizul.
Ketua Pengarang Bernama Datuk Yong Soo Heong dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama TV Synergy Sdn Bhd, Engku Emran Engku Zainal Abidin turut menziarah keluarga Noramfaizul.