Kerajaan Somalia menjanjikan siasatan serta laporan rapi berhubung kejadian tembakan ke atas misi kemanusiaan Kelab Putera Satu Malaysia yang mengorbankan jurukamera Bernama TV.
Presiden Somalia, Sheikh Sharif Sheikh Ahmed telah menghubungi Perdana Menteri untuk menyampaikan takziah ke atas pemergian Allahyarham Noramfaizul Mohd. Nor.
Jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan turut cedera dalam insiden sama.
Allahyarham Noramfaizul ditembak di bahu kanan dan peluru menusuk ke paru-parunya.
Allahyarham meninggal dunia jam 6.07 minit petang waktu tempatan atau 11.07 minit malam tadi waktu Malaysia ketika menerima rawatan .
Allahyarham meninggalkan isteri, Norazrina Jaafar 37 tahun, dan dua anak lelaki, Mord Irfan 8 tahun, dan Mohd Naufal, 3 tahun.
Konvoi misi kemanusiaan yang disertai media itu diserang kira-kira jam 5.15 minit petang waktu tempatan , lebih kurang 200 meter untuk tiba ke hotel penginapan.
Misi, terdahulu mengagihkan bantuan kepada mangsa kebuluran di Kem Hawari.
Wisma Putra, dalam satu kenyataan juga menyebut, persediaan sedang dibuat untuk membawa pulang jenazah dan semua anggota misi menggunakan pesawat TUDM.
Rombongan dijangka tiba di ibu negara pagi esok.
Pihak keselamatan Somalia memberi kawalan ketat di hotel penginapan misi dan juga bagi perjalanan misi ke lapangan terbang.
Menteri Keselamatan Dalam Negeri Somalia, Abdisamad Maalin Mohamud berjanji dalang disebalik kejadian itu akan diburu dan dihadapkan ke mahkamah.