Dari Kelantan ke Johor, sambutan lebaran mahu diteruskan sebuah keluarga polis.
Namun malang pula yang menimpa.
Ketika destinasi yang dituju sudah hampir, kereta yang dinaiki tiga beradik terlibat dalam kemalangan sehingga mengorbankan ketiga-tiganya, awal pagi tadi.
Menurut Timbalan Ketua Polis Batu Pahat, Superintenden Adnan Azizon, kejadian berlaku jam 2.45 pagi di KM113.6, Jalan Labis – Yong Peng.
Tiga beradik itu dikatakan dalam perjalanan dari Kelantan untuk menyambut Aidilfitri bersama bapa mereka, Koperal Patah Raji Muhamad di Balai Polis Simpang Renggam.
Bapa mereka turut mengekori dari belakang dengan sebuah kenderaan berasingan.
Ahmad Zakhwan yang memandu kereta dikatakan hilang kawalan dan memasuki lorong bertentangan.
Ia kemudian bertembung dengan kereta dipandu Ho Hong Shou.
Selain Ahmad Zakhwan 19, turut terkorban, adiknya, Ahmad Zahinuddin, 18 dan Ahmad Zarif, 12 tahun.
Ahmad Zakhwan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua adiknya meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Batu Pahat.
Hong Shou turut dihantar ke hospital berkenaan untuk rawatan.