KUALA LUMPUR: Keluarga Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, jurukamera BernamaTV, yang terkorban ketika bertugas bersama Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putra 1Malysia di Somalia, tidak akan mengambil tindakan mahkamah terhadap penganjur misi itu.
Ayah Allahyarham, Mohd Nor Abdul Majid, berkata tiada pihak yang bersalah dalam peristiwa itu dan setakat ini segala-galanya berjalan lancar sehinggalah ke urusan pengkebumian Noramfaizul.
“Apa yang berlaku adalah ketentuan, semua perkara berjalan lancar setakat ini, tiada siapa pun boleh dipersalahkan,” katanya di kediamannya, dekat sini, hari ini.
Sepupu kepada arwah, Rodzana Esa juga berkata, setakat ini semua anggota keluarga masih lagi dalam fasa untuk meredakan perasaan sedih dan perkara seperti untuk panjangkan ke mahkamah tidak difikirkan.
“Kami semua redha dengan apa yang berlaku,” katanya.
Noramfaizul, 39, terkorban di Somalia setelah terkena tembakan curi ketika dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan menaiki pacuan empat roda daripada membuat liputan pemberian bantuan kepada mangsa kemarau dan kebuluran oleh Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putra 1Malaysia.