Abdul Azeez turut mempelawa beberapa pemimpin parti pembangkang, termasuk Lim Kit Siang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim di samping wartawan dari portal berita The Malaysian Insider dan Malaysiakini untuk menyertai misi mereka yang akan datang.
KUALA LUMPUR, 6 Sept — Kelab Putera 1Malaysia menghantar tujuh pasukan tinjauan ke Somalia sebelum melancarkan misi bantuan kemanusiaannya ke negara itu pada 28 Ogos.
Presiden kelab berkenaan, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata pasukan pertama berlepas ke negara itu pada 2 Ogos untuk membuat penilaian urusan logistik manakala pasukan utama dan terakhir pula pada 25 Ogos.
“Pada 25 Ogos, pasukan tinjauan utama, tujuh daripada mereka pergi dengan diketuai oleh Zulkifli Mohd Noor (duta yang bertanggungjawab ke atas Afrika Utara) dan Kolonel dari angkatan tentera (Kolonel Ramlee Sham) untuk melakukan tinjauan dan berbincang bersama-sama rakan sejawatan kami.
“Mereka memberitahu kami apa yang kami perlu lakukan, apa yang kami perlu pakai dan apa yang kami tidak boleh pakai. Jadi kami mematuhi segala-galanya berdasarkan SOP (Prosedur Operasi Standard),” katanya kepada Bernama selepas menyertai program Helo Malaysia terbitan Bernama TV di sini Isnin malam sebagai penghormatan kepada jurukamera Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor.
Beliau berkata kesemua laporan yang diperlukan telah diterima dan tiada keperluan bagi anggota misi itu untuk memakai jaket kalis peluru.
Abdul Azeez berkata misi itu mempunyai 20 kenderaan yang diletakkan dalam keadaan tunggu sedia dan pasukan berkenaan menukar kenderaan setiap hari bagi mengelak daripada dijadikan sasaran oleh mana-mana puak yang bertelagah.
Beliau berkata kelab itu kini melakukan segala urusan yang diperlukan dan dijangka kembali ke negara yang dilanda peperangan itu untuk meneruskan misi berkenaan pada Oktober ini.
Terdahulu, ketika bercakap dalam program itu, Abdul Azeez berkata pasukan itu mematuhi setiap SOP daripada pasukan tinjauannya dan kerajaan Somalia.
Allahyarham Noramfaizul, salah seorang anggota pasukan media yang membuat liputan misi kemanusiaan itu, terkorban setelah terkena peluru sesat di Mogadishu pada Jumaat petang.
Sementara itu, Abdul Azeez turut mempelawa beberapa pemimpin parti pembangkang, termasuk Lim Kit Siang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim di samping wartawan dari portal berita The Malaysian Insider dan Malaysiakini untuk menyertai misi mereka yang akan datang.