Kebakaran hotel itu dipercayai berpunca daripada litar pintas.
TIGA rakyat Malaysia masih menerima rawatan di hospital susulan terlibat dalam kejadian kebakaran di sebuah hotel di Sadao, Songkhla, Jumaat lalu (12 April).
Ketiga-tiga mangsa termasuk sepasang suami isteri kini menerima rawatan di Hospital Hatyai.
Seramai 15 orang rakyat Malaysia dilaporkan terbabit dalam kebakaran pada 8.25 pagi (waktu tempatan) itu.
Ketua Polis Pelancongan Wilayah Songkhla Kol. Pol. Dr Sannya Niampradit berkata ketiga-tiga mangsa berusia antara 61 dan 54 tahun mengalami sesak nafas yang teruk akibat asap tebal dalam kejadian itu.
“Mereka kini dalam keadaan stabil dan mereka tidak lagi bergantung kepada alat bantuan pernafasan.
“Mereka dijangka dibenarkan pulang dalam sehari dua lagi,” katanya. – BERNAMA