SHAH ALAM, 11 Sept — Lebih 10,000 mengunjungi jamuan sempena sambutan Aidilfitri dan kemerdekaan negara anjuran Barisan Nasional (BN) Shah Alam, di sini malam Ahad.
Ketua Umno Shah Alam Datuk Ahmad Nawawi M. Zin berkata sambutan itu di luar jangkaan awal iaitu sekitar 5,000 orang.
Bercakap kepada pemberita pada majlis itu, Ahmad Nawawi berkata walaupun sambutan itu tidak menggambarkan sokongan rakyat Shah Alam kepada BN, sekurang-kurangnya majlis tersebut dapat merapatkan BN dengan pengundi atas pagar.
“Sebelum ini golongan atas pagar agak menjauhkan diri daripada Umno atau BN, yang mana undi mereka bakal menjadi penentu sama ada kawasan Parlimen Shah Alam akan beralih semula kepada BN pada pilihan raya umum yang akan datang,” katanya.
Selain menikmati pelbagai juadah, orang ramai turut dihiburkan dengan persembahan hiburan artis tempatan.