KUANTAN – Pas tidak akan teragak-agak untuk memecat pemimpin dalam parti itu jika didapati melakukan perbuatan tidak bermoral.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas tidak seperti parti politik lain yang menganggap soal moral itu perkara kecil dan ringan serta tidak kisah jika aktiviti tidak bermoral dibuat oleh ahli parti mereka.
Kata beliau, terdapat parti politik yang aktiviti ahlinya ‘video’ dan beliau mempersoalkan adakah rakyat mahu negara dipimpin oleh seorang pemimpin yang tidak bermoral.
“Media laporkan, Pas menolak pemimpin parti politik yang aktivitinya tidak bermoral, saya tidak mahu sebut nama tetapi siapa makan cili api dia terasa pedas.
“Kalau sayalah, kalau berlaku perkara seperti ini, saya letak jawatan. Ini kerana kepada kita moral adalah perkara penting dalam parti, dalam berjemaah. Ini (moral) yang memelihara jati diri kita,” katanya ketika berucap selepas meninjau Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat Ke-60 Bukit Gambang Resort City (BGRC) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, moral adalah teras penting yang perlu terus dipertahankan oleh pimpinan Pas.
“Ini (moral) teras penting kita, biar kita rebah dalam pilihan raya, tetapi jangan kita rebah dalam perjuangan,” katanya. – UTUSAN ONLINE
https://pakdin.my/tag/bersemburit