Sekeping sijil perceraian menunjukkan wanita Rusia Rihana Oksana Gorbatenko, 26, sah diceraikan talak tiga, lapor sebuah portal berita.
Menurut sijil perceraian yang dipercayai didaftarkan 1 Julai lalu selepas proses perceraian Rihana bertarikh 22 Jun di Singapura.
Memetik laporan Astro Awani, sijil penceraian yang dilengkapi dengan nombor siri itu turut menyatakan perceraian itu sudah mendapat kelulusan daripada Mahkamah Syariah.
Model jelita yang dinobatkan sebagai Ratu Moscow 2015 itu dipercayai melangsungkan perkahwinan pada November 2018, lapor portal berita berpusat di United Kingdom, Daily Mail.
Sementara itu, media Moscow yang turut dipetik Daily Mail melaporkan perkahwinan Rihana bergolak pada 24 Januari lalu.
Dalam pada itu, beberapa sumber turut mempertikaikan hantaran Instagram Rihana sejak kebelakangan ini.
Ini kerana hantaran Instagram yang menceritakan kisah-kisah kehidupannya tidak disertakan bersama gambar-gambar baharu Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.