Barisan Nasional (BN) Selangor berikrar untuk melaksanakan sistem pentadbiran yang memenuhi harapan dan cita rasa rakyat Selangor jika diberi mandat mentadbir semula negeri ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN Selangor memberi pengharapan baru itu kepada rakyat Selangor yang kecewa dengan pentadbiran kerajaan negeri sedia ada.
“Kita berazam dan bertekad sekiranya diberi kepercayaan pada pilihan raya umum akan datang, kita akan lakukan yang terbaik di Selangor.
“Jika sayang negeri Selangor, yakinilah BN,” katanya ketika berucap pada rumah terbuka Aidilfitri BN Selangor di i-City di sini, di hadapan kira-kira 15,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan rakyat Selangor serta pemimpin parti komponen BN Selangor.
Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Najib juga melahirkan rasa gembira dengan sambutan memberangsangkan oleh rakyat berbilang kaum yang sama-sama menikmati juadah yang disediakan.
Pada majlis itu, Perdana Menteri mengambil peluang beramah-mesra dengan tetamu yang hadir.