Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Butterworth hari ini berhubung kenyataan kontroversi mengenai serangan komunis terhadap Balai Polis Kepong dalam ceramahnya di Pulau Pinang, bulan lalu.
Terdahulu, Mat Sabu ditahan oleh polis Pulau Pinang setelah tiba di Lapangan Antarabangsa Pulau Pinang kira-kira 7.30 petang tadi untuk diambil keterangan berhubung kenyataannya mengenai tragedi Bukit Kepong sebelum dibebaskan malam tadi.
Beliau dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang selepas beliau menyerah diri susulan waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya.
Mat Sabu dilihat tiba di perkarangan IPK polis negeri pada pukul 8.30 malam dan dibenarkan ikat jamin 45 minit kemudian selepas percakapannya dirakam.
Pemimpin PAS itu akan didakwa di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang dibaca mengikut Seksyen 499 kanun yang sama.
Polis Pulau Pinang menerima 1,013 laporan polis berhubung kenyataan yang dibuat Mat Sabu, termasuk oleh anggota keluarga mereka yang terkorban dalam tragedi Bukit Kepong itu.
Dalam ceramahnya di Tasek Gelugor pada 21 Ogos lepas, Mat Sabu menyifatkan pengganas komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong di Muar, Johor pada 1950 adalah wira sebenar dan bukan 25 anggota polis serta keluarga mereka yang terkorban dalam kejadian tersebut.
Mat Sabu menerima kecaman hebat apabila klip rakaman video ceramahnya itu disebarkan menerusi internet dan mendapat liputan akhbar, yang mengakibatkan ratusan laporan polis dibuat terhadapnya.