Pucuk pimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu meneruskan sistem pemilihan calon ‘payung terjun’ di kalangan berpendidikan tinggi dan berpengalaman untuk pilihan raya umum kerana ia masih sesuai dengan senario politik masa kini.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata calon payung terjun yang terdiri daripada kalangan berpendidikan tinggi dan berpengalaman mampu memikul tanggungjawab melaksanakan tugas dengan berkesan terutamanya membantu kerajaan melicinkan sistem pentadbiran.
“Kita perlu calon payung terjun dan ia tidak boleh ditolak sama sekali. Sebagai contoh, semasa saya menjadi perdana menteri, Tun Daim Zainuddin (bekas Menteri Kewangan) diangkat sebagai calon ‘bidang terjun’ kerana kita sedar dengan kemampuannya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Anggota Dewan Undangan Negeri Tambun Tualang Datuk Seri Shahidan Kassim pada sesi soal jawab selepas menyampaikan ceramah mengenai ” Peranan Dan Cabaran Terkini Wakil Rakyat ” sempena program perhimpunan tiga hari anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) BN di Selangor sejak semalam, di Dewan Umno Bahagian Kuala Selangor di sini hari Khamis.
Shahidan meminta pandangan bekas perdana menteri itu sama ada sistem pemilihan calon payung terjun perlu dikekalkan atau pun sebaliknya.
Dr Mahathir berkata bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Malaysia Airlines (MAS) Datuk Seri Idris Jala dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri meskipun beliau bukan ahli politik kerana dilihat mampu membantu kerajan mentadbir negara.
Bagaimanapun pemilihan calon ‘payung terjun’ tidak boleh diamalkan terlalu kerap kerana boleh memberi impak negatif kepada kerajaan, katanya .
Beliau turut mengingatkan wakil rakyat BN supaya sentiasa menjaga imej masing-masing agar dapat memenangi hati rakyat.
“Wakil rakyat sepatutnya tidak mengejar kemewahan, sebaliknya mereka perlu sentiasa hidup dalam kesederhanaan dan mampu berkhidmat untuk rakyat dengan cemerlang.
“Generasi muda hari ini menolak untuk bersama dengan BN kerana mereka sering mengaitkan pemimpin BN dengan rasuah dan sebab itulah saya mahu setiap wakil rakyat BN sentiasa menjaga imej mereka jika mahu memenangi pilihan raya akan datang,” katanya.
Dr Mahathir berkata ada wakil rakyat bebas yang mampu menang dalam pilihan raya kerana rekod khidmat cemerlang kepada masyarakat, dan bukannya kerana latar belakang mereka.