Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata rakyat Selangor seakan-akan tidak sabar untuk menanti pilihan raya umum bagi menukar kerajaan negeri sekarang daripada pakatan PKR-DAP-Pas kepada Barisan Nasional (BN).
Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN dan Timbalan Presiden Umno berkata rakyat Selangor mula sedar perbezaan pemerintahan antara pakatan tersebut dan BN dan telah bertanya kepada beliau bila pilihan raya akan diadakan.
“Bila ditanya mengapa mereka hendak pilihan raya cepat diadakan, ada yang berkata saya nak undi cepat rasa terseksa di bawah Pakatan Rakyat,” katanya ketika berucap menutup perhimpunan tiga hari Anggota-anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dari seluruh Malaysia di Selangor, yang berakhir Jumaat.
Muhyiddin berkata pendekatan yang diambil ADUN BN iaitu tinggal bersama-sama dengan keluarga-keluarga angkat di 73 pusat daerah mengundi di seluruh Selangor akan membantu memberi gambaran sebenar landskap politik Selangor dalam membantu kepimpinan BN negeri merangka program berkesan bagi menghadapi pilihan raya.
Katanya pendekatan tinggal dan makan bersama keluarga angkat masing-masing, akan membolehkan ADUN merasakan denyut nadi dan jantung masyarakat di Selangor.
“Tentulah ini akan memberikan kita pandangan yang lebih jelas mengenai aspirasi rakyat (dan) kehendak rakyat,” katanya.
Muhyiddin berkata sungguhpun Selangor kini diperintah oleh pakatan pembangkang, BN dibawah teraju Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan mengabaikan kebajikan rakyat di Selangor.
Kerajaan Persekutuan akan terus membela nasib mereka yang miskin, tidak menikmati kemudahan asas, memberikan peluang pekerjaan dan memfokuskan kepada isu seperti ekonomi, sosial dan kesihatan, katanya.
Pada majlis itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan peruntukan RM29 juta untuk membina sebuah sekolah menengah baru dinamakan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Kapar di sini bagi menggantikan Sek Men Keb Meru di sini yang kini sesak dengan 5,000 pelajar.
Pembinaan sekolah baru itu akan dilaksanakan menerusi Pelan Kedua Rancangan Malaysia Ke 10, katanya.
Muhyiddin juga menyampaikan bantuan berjumlah RM6.68 juta kepada 34 Sekolah Agama Rakyat di Selangor pada majlis itu.
Sebelum menghadiri upacara penutup majlis tersebut, Muhyiddin menunaikan solat Asar di Masjid Kampung Budiman dan menyerahkan bantuan bernilai RM200,000 kepada pengurusan masjid berkenaan.