Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak menegaskan golongan pengundi muda harus diberi pendedahan mengaplikasikan kuasa mereka sebagai pemilih pada pilihan raya akan datang.
Katanya, golongan berusia 18 tahun yang baru diberikan hak mengundi perlu mendapat maklumat secukupnya untuk memilih kerajaan yang patut dipilih.
“Kita hendak mendidik generasi akan datang sebagai generasi yang mempunyai nilai etika dan tahu membezakan antara hak dan batil, antara kaca dan permata.
“Pada saya bukan bererti bila sudah dapat peluang untuk mengundi bermakna ia sudah berakhir tetapi proses mendidik mereka bagi membuat keputusan dan penilaian yang tepat amat penting.
“Sebab itu kita perlu mendekati mereka dengan cara seperti ini mereka akan buat keputusan berdasarkan maklumat tepat apabila sampai pada masanya,” katanya dalam sidang media pada program santai anjuran Pertubuhan Gerakan Anak Muda 18 Tahun di sini malam ini.
Tambah Najib, golongan anak muda telah menunjukkan minat yang mendalam bagi mencorak masa depan negara.
“Saya dapati mereka bersemangat mencorak masa depan negara dan keterlibatan mereka dalam proses penentuan demokrasi ini adalah amat penting.
“Disebabkan itu penting untuk kita beri mereka peluang membuat penilaian. Ia berdasarkan kepada maklumat yang tepat dan bukan berdasarkan kepada janji-janji palsu ataupun pembohongan mahupun fitnah,” katanya lagi.
Dewan Rakyat pada 16 Julai lalu meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun.
Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu memperoleh masing-masing sokongan 211 daripada 222 ahli Parlimen selepas dua kali undi belah bahagi dilakukan, iaitu lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan Rakyat.
LIHAT VIDEO: https://youtu.be/64MiJuLW3wU