DUNGUN – Tiga pekerja sebuah resort yang hilang dalam perjalanan menghantar bekalan makanan dari Jeti Aking ke Pulau Tenggol, Rabu lepas, ditemui selamat oleh nelayan Thailand.
Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, DSP Mohamad Zohan Seman berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 1 pagi tadi daripada Pelantar Bunga Orkid Petronas yang memaklumkan perkara berkenaan.
Beliau berkata, menurut maklumat, bot yang dinaiki tiga pekerja tersebut telah mengalami kerosakan menyebabkan mereka hanyut mengikut arus.
“Ketika ditemui, ketiga-tiga mangsa berada dalam keadaan baik dan memaklumkan kepada nelayan Thailand bahawa mereka adalah pekerja resort di Pulau Tenggol.
“Nelayan itu kemudiannya membawa mangsa ke pelantar berkenaan dan telah diberi rawatan lanjut oleh kakitangan di situ,” katanya ketika dihubungi.
Mohamad Zohan berkata, bagaimanapun lokasi tepat di mana pekerja resort tersebut ditemui tidak dapat dipastikan disebabkan masalah komunikasi antara nelayan Thailand dan pekerja pelantar.
Katanya urusan membawa pulang tiga mangsa dari pelantar yang terletak di kedudukan 112 batu nautika dari Dungun itu sedang dijalankan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Pahang kira-kira pukul 9 pagi tadi. – Bernama