KUCHING – Pesawat CN235 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dipercayai mengalami masalah teknikal pada gear pendaratan berjaya mendarat dengan selamat di Pengkalan Udara Kuching di sini.
Menurut sumber, pesawat yang sepatutnya mendarat pada 12.30 tengah hari itu telah berlegar selama sejam di udara sebelum disahkan telah selamat mendarat.
Jurucakap TUDM ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu manakala pihak Hospital Umum Sarawak menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.30 tengah hari tadi.
“Pesawat berkenaan ada masalah ‘landing gear’. Semua kru dan pesawat selamat dan tiada apa-apa (kecederaan atau kerosakan),” katanya ringkas melalui aplikasi WhatsApp.
Sebelum itu, tinjauan Bernama di Pengkalan TUDM Kuching mendapati terdapat sebuah pesawat yang sedang berlegar-legar di udara namun tidak dapat dipastikan sama ada ia adalah pesawat yang mengalami masalah berkenaan.
Turut kelihatan sebuah ambulans milik TUDM yang berada di kawasan pangkalan, bersiap sedia sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini. – BERNAMA