Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menolak kemungkinan sikap dan nada berbeza ditunjukkan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang pernah bersamanya sebelum ini disebabkan sudah memiliki ‘tauke’ baharu.
Menurutnya, jika dahulu bekas-bekas menteri Kabinet ini boleh dikatakan pemimpin yang bersikap ‘yes sir’ namun, apabila BN tumbang, mereka berubah dan lantang mengkritik terutama terhadap dirinya.
“Saya tidak berubah, mungkin mereka yang berubah.
“Saya tidak pasti sama ada wujud tangan-tangan ghaib di belakang mereka, mungkin ada. Sebab itu ada mantera politik yang menyebut, tidak ada kawan yang kekal dan tidak ada musuh yang abadi, itulah saya syak mereka ada ‘tauke’ baharu.
“Orang macam ini, rakyat sendiri akan menilai, mereka sebenarnya merosakkan diri sendiri. Kita kena ada maruah dan prinsip dalam politik,” katanya dalam Wacana Ilmu Hard Truth: “Cash is king” di Menara Datuk Onn malam ini.
Pengerusi Lembaga Penasihat BN itu berkata demikian apabila ditanya tentang sikap bekas menteri Kabinet yang dahulunya “yes sir”, tetapi apabila kalah PRU14, pendirian mereka berubah dan bercakap buruk tentang beliau.
Kata Najib, kesetiaan adalah nilai yang begitu tinggi dan mulia.
“Kalau kita lihat dalam BN, jika tidak ada raja-raja katak, kita ada 79 kerusi dan kita (BN) akan jadi ‘king maker’, katak lompat lemahkan parti.
“Sikap mereka juga tidak menguntungkan sebab apabila balik ke kawasan, rakyat buat tak peduli saja.
“Kita kena jaga asas politik, baharu orang akan terima, jika tidak kita terkontang-kanting,” katanya.