Warga Sarawak mempersoalkan Kementerian Pertahanan yang tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan pencarian ke atas dua askar yang hilang semasa bertugas di Pulau Perak, Kedah.
Aktivis komuniti, Boniface Willy Tumek berkata, orang awam kini membuat perbandingan bagaimana Kementerian Pertahanan mengendalikan operasi mencari kedua-dua askar tersebut dengan Nora Anne Quoririn, remaja Ireland yang hilang di Negeri Sembilan pada 4 Ogos lalu.
“Mengapa Kementerian Pertahanan tidak menunjukkan tahap komitmen yang sama dalam mencari mereka yang hilang semasa melindungi kepentingan negara,” soalnya seperti yang dilaporkan FMT.
Beliau berkata, polis mengerahkan semua sumber untuk mencari remakja 15 tahun ini dengan melibatkan 350 anggota dan bertugas mengikut shift.
“Mayat Nora telah ditemui dan terima kasih atas komitmen tinggi ditunjukkan oleh polis.
“Malah, warga Singapura, Puah Geok Tin yang hilang pada 8 Ogos lalu di Pulau Sri Buat, Pahang ditemui selepas usaha gerakan mencari dilakukan dengan pelbagai agensi,” ujarnya.
Lantaran itu, Boniface menggesa Kementerian Pertahanan memulakan semua dengan skala penuh mencari David Edmund Rapi, 39, dan Moses Logers, 25.
Sudah 28 hari Rapi dari Dalat dan Logers berasal dari Bau hilang semasa operasi di Pulau Perak.
“Berdasarkan maklumat 13 askar yang lain, Rapi dan Logers ada semasa makan malam pada pukul 7 malam pada 19 Julai.
“Adalah tidak masuk akal tiada seorang daripada 13 orang mengetahui kehilangan mereka sehingga panggilan dibuat, dikatakan berlaku sekitar pukul 10 malam,” katanya.
Minggu lalu, ahli keluarga dua tentera Sarawak itu meminta kerajaan untuk meneruskan pencarian mereka.
Semalam, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata, usaha mencari kedua-dua tentera itu akan berterusan di darat.
Sumber: DayakDaily