Malaysia Airports menjangka gangguan sistem yang dalami di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 sejak malam semalam akan berterusan sepanjang hari ini.
Pengendali lapangan terbang itu berkata, pihaknya sedang cuba mengatasi masalah tersebut dan satu pasukan telah bekerja sepanjang masa sejak masalah tersebut timbul.
Katanya, pasukan tersebut bukan sahaja berusaha menangani masalah tetapi juga meminimumkan kesan ke atas penumpang.
“Gangguan perhubungan telah memberi kesan kepada beberapa sistem di lapangan terbang seperti hubungan Wifi, sistem paparan maklumat penerbangan (FIDS), kaunter daftar masuk, sistem pengurusan bagasi (BHS),” katanya dalam kenyataan.
Beikutan itu, Malaysia Airport menasihatkan para penumpang berada di lapangan terbang sekurang-kurangnya empat jam sebelum masa berlepas dan menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk mendapatkan jadual penerbangan terkini.
Sementara itu, Malaysia Airlines menerusi akaun Twitternya menggesa para penumpang melakukan daftar masuk menerusi dalam talian ataupun telefon bimbit berikutan gangguan tersebut yang memberi kesan kepada proses daftar masuk dan pelepasan.
“Malaysia Airlines melakukan daftar masuk secara manual dan ia akan mengambil masa yang lebih panjang,” katanya sambil memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi penumpang.