Kerajaan tidak menolak pelaksanaan hukum hudud di negara ini, sebaliknya komited untuk menyeragamkan undang-undang Islam di semua negeri yang tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan.
Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Abdullah Md. Zin berkata, kerajaan tidak pernah menafikan hukum itu, namun pelaksanaannya perlu ada kesesuaian dan fleksibilitinya.
“Kita tidak nafikan hukum hudud dan qisas tetapi pembangkang pula jangan terlalu ghairah dan bersikap retorik menggunakan idea itu semata-mata untuk menarik perhatian rakyat.
“Kerajaan sentiasa komited dalam melaksana dan memperbaiki sistem perundangan Islam di negara ini. Ia dapat dibuktikan dengan wujudnya undang-undang syariah di negara ini,” katanya pada sidang akhbar Karnival Transformasi Pengurusan Islam di Universiti Islam Malaysia (USIM), Nilai dekat sini, hari ini.
Jelas beliau, sejak zaman sebelum merdeka lagi, rakyat dapat menyaksikan usaha kerajaan untuk memantapkan lagi sistem perundangan Islam di negara ini.
“Sebab itu majlis agama negeri dibentuk, Undang-Undang Syariah diwujudkan yang diketuai oleh Majlis Raja-Raja, manakala bagi negeri yang tidak mempunyai Sultan ia akan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong sendiri.