Beberapa bulan lepas, ketika perbicaraan SRC International, peguam bela Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dikritik habis-habisan kerana menggunakan perkataan estet.
Antara yang paling lantang tidak bukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy sambil menyifatkan tindakan Muhammad Shafee itu menghina kaum India di negara ini.
Peliknya, ketika Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menggunakan perkataan ‘pariah’ ketika mengulas tentang kritikan berkaitan penerimaan kerajaan dengan kilang memproses nadir bumi, Lynas Corporation Ltd. (Lynas) – Waytha berdiam diri pula.
Justeru Setiausaha Penerangan MIC Kebangsaan, A. Subash Chandrabose mempertikaikan sikap Waytha yang kononnya mewakili suara masyarakat India.
“Adakah kerana Tun Mahathir adalah bos kamu? Ingin saya ingatkan Waytha, sebelum ini saya ada tegur juga sikap ‘pilih bulu’ pemimpin ini.
“Tun Mahathir pernah menggelar masyarakat India ‘keling’ dan ‘podah’ yang seolah-olah memperlekehkan komuniti itu ketika kempen pilihan raya umum lepas kemudian memohon maaf kerana menggunakan perkataan yang mengguris sensitiviti,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Soal Subash, mengapa ketika itu Waytha hanya sekadar mendiamkan diri sebaliknya dalam isu Muhamad Shafee pula senator itu ‘melompat-lompat’ dan bercakap seperti seorang pejuang kaum India.
Jelas Subash yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi Pemuda MIC Kebangsaan, ada baiknya Waytha mengimbas kembali perjuangan Hindraf yang diasaskan menentang kerajaan satu masa dahulu dengan membawa masyarakat India ke jalanan.
“Kamu boleh biarkan Tun Mahathir menggunakan perkataan-perkataan menghina memperkecilkan masyarakat kita kerana kamu kini dalam kerajaan, dulu beginilah kamu herdik MIC.
“Sekarang semua sudah duduk dalam gua? Tidak apa, duduk sahaja dalam gua itu, tahulah rakyat untuk mengajar kamu kelak. Jangan gunakan nama kononnya kamu ini pejuang jika semuanya hanya sekadar omong kosong untuk undi.
“Ini namanya kebodohan yang langsung tidak boleh dimaafkan,” tegasnya.
Mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan kata-kata Mahathir itu diluar ambil konteks kerana berkemungkinan itu bukan maksud untuk menghina, Subash berkata mereka senang buat pusingan u dalam apabila terperangkap.
“Pada saya, anda tahu perkataan-perkataan seperti itu menghina, mengapa guna kemudian buat pusingan U kononnya tidak berniat.
Tidak kisahlah siapa kamu, apa yang diperkatakan itu menghina apatah lagi golongan ini juga antara yang paling banyak mengundi kamu,” ujar Subash. –MalaysiaGazette