SAKSI ke-34 kes perbicaraan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Chew Ben Ben memberitahu mahkamah, dua pertuduhan iaitu pertuduhan ke-14 dan 15 ke atas Ahmad Zahid adalah fitnah.
Ben Ben yang merupakan Penasihat Kewangan Datasonic Sdn. Bhd., (DTSB) dan juga Penasihat Korporat Saranakencana Sdn. Bhd., (SKSB) dalam keterangan bersumpahnya menyatakan kedua-dua pertuduhan tersebut terhadap Ahmad Zahid yang kononnya menerima rasuah daripada Ben Ben menerusi dua keping cek RM5 juta dan RM1juta RM5 juta adalah satu fitnah terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
Saksi bagi pihak pendakwa itu turut memberitahu mahkamah yang bersidang di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah pagi tadi bahawa sumbangan yang diberi atas inisiatifnya sendiri adalah sumbangan politik yang juga membawa maksud sumbangan kebajikan, amal jariah dan derma yang diberikan kepada Lewis & Co sebagai pemegang amanah Yayasan Akalbudi yang mana Ahmad Zahid adalah Pengasas yayasan.
“Sumbangan itu adalah sumbangan politik, CSR (amal kebajikan), amal jariah dan derma yang diberikan melalui Lewis & Co kepada Yayasan Akalbudi.
“Sumbangan itu (RM6 juta) adalah sumbangan peribadi Datuk Abu Hanifah kerana dia kaya, bukan duit saya.
“Sumbangan peribadi Datuk Abu Hanifah bukan untuk Datuk Seri Zahid dan bukan rasuah kepada Datuk Seri Zahid, untuk Datasonic mendapat kontrak pembekalan cip polikarbonat Pasport Antarabangsa Malaysia (PAM),” kata Ben Ben.
Ben Ben ketika memberi keterangan bersumpahnya juga menegaskan, sumbangan peribadi yang diberi oleh Datuk Abu Hanifah adalah sebagai sumbangan politik melalui Ahmad Zahid bagi membantu pilihan raya kerajaan waktu itu, Barisan Nasional (BN).
Jelas Ben Ben, beliau yang mencadangkan kepada Abu Hanifah untuk menghulur sumbangan politik dengan menggunakan wang peribadi Abu Hanifah.
“Sumbangan politik untuk kestabilan politik jangkamasa panjang kerana politik kami sebagai usahawan atau businessman mahu politik yang stabil,” kata saksi.
Untuk rekod, minggu lepas, Abu Hanifah tampil memberi keterangan sebagai saksi telah memberitahu mahkamah bahawa sumbangan politik yang diberikannya juga dimaksudkan sebagai amal jariah.
Jelas Ben Ben lagi, jika keadaan politik tidaknstabil, ia kurang baik untuk ahli perniagaan.