KUALA LUMPUR, 20 Nov — Barisan Nasional (BN), terutama para pemimpinnya, perlu memanfaatkan teknologi baru dalam menyampaikan mesej kepada rakyat bagi memastikan parti itu sentiasa relevan, kata Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
Perdana Menteri berkata ini kerana sebahagian besar masyarakat, terutama sekali golongan muda, menggunakan saluran alam maya, termasuk media sosial, sebagai saluran utama untuk menerima maklumat mengenai apa jua perkembangan yang berlaku, baik di dalam mahupun di luar negara.
“Sumber maklumat yang diterima dari alam maya ini boleh membentuk minda generasi baru, dan untuk kita menangi hati dan fikiran rakyat serta merasai denyutan nadi rakyat.
“Maka alam maya dan media sosial inilah yang merupakan wahana dan kaedah yang paling utama yang sepatutnya kita guna pakai untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat, dan sambil itu, untuk kita menilai pandangan dan sikap rakyat terhadap kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa melancarkan Konvensyen Media Sosial 1Malaysia, yang julung kali diadakan di sini Ahad dan dihadiri lebih 2,000 pengamal media sosial.
Pada majlis itu, Najib, yang juga Pengerusi BN, turut melancarkan Kelab Sukarelawan Media Sosial 1Malaysia MyVoice yang dianggotai oleh para pengamal media sosial yang diiktirafnya “sebagai para pejuang dan bala tentera baru BN, yang bergerak di alam maya.”
Perdana Menteri berkata sebagai sebuah parti yang tertua di negara ini, BN tidak boleh bersandarkan kepada kejayaan masa lampau, sebaliknya mesti berani mengorak langkah dan membuat perubahan supaya sentiasa relevan, dinamik serta segar.
“Kita tidak mungkin berjaya kalau rakyat tidak sokong, kalau rakyat terpesong, kalau rakyat dikelirukan, kalau rakyat percayai fitnah, kepalsuan, separuh kebenaran. Semua ini, boleh membantut agenda transformasi besar yang ingin kita perjuangkan.
“Maka di sini peranan penggiat media sosial dan pejuang alam maya ini, bala tentera media sosial, yang akan turun padang dengan mengeluarkan iPad, Blackberry, iPhone dan komputer riba masing-masing, Inilah senjata bala tentera media sosial baru.
“Kita terangkan pada mereka (rakyat) (mengenai segala usaha positif kerajaan), sebab tujuan pihak tertentu ialah untuk mengelirukan (rakyat), kalau tidak pesongkan mereka. Ini prinsip propaganda.
“Petua kedua mereka (pihak pembangkang), kalau sesuatu yang tidak benar, tetapi diulang banyak kali, ia boleh diterima sebagai kebenaran. Jangan ambil enteng peranan media sosial,” katanya.
Najib berkata beliau sendiri menjadi mangsa kepalsuan dalam media sosial apabila anaknya didakwa telah berbelanja di Perth, Australia semasa beliau (Najib) menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel pada Oktober lepas, sedangkan pada masa itu, anaknya berada di negara lain.
“Saya pergi buat ibadat haji, mendapat taraf tetamu diraja, kerana bukan kita minta, tetapi ditawarkan oleh Raja Arab Saudi. Kemudahan ialah bila buat tawaf, ada lah beberapa askar menjaga keselamatan untuk memudahkan proses (tawaf).
(Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr) Zahid Hamidi pun ada di situ. Tetapi bila keluar dalam media sosial, mereka padamkan jemaah-jemaah haji lain, seolah-olah saya dikepung, orang lain tidak boleh buat tawaf.
“Ini satu kepalsuan. Satu fitnah yang amat besar, tetapi mereka tidak takut pada dosa yang besar. Ini yang saya katakan bahayanya kalau kita tidak betulkan segala-segala kepalsuan dan fitnah dalam pilihan raya,” katanya.
Najib berharap anggota kelab sukarelawan Media Sosial 1Malaysia MyVoice dapat membantu memperbetulkan kepalsuan dan menerangkan kepada rakyat tentang agenda transformasi besar kerajaan bagi memastikan ia tercapai.