KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sedang meneliti cadangan sama ada akan mengenakan denda RM1,000 atau penjara bagi individu yang tidak memakai pelitup muka di tempat awam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua hukuman itu sedang dipertimbangkan untuk dilaksanakan sebelum mewajibkan pemakaian pelitup muka.
Beliau berkata pengenalan dua hukuman itu termaktub dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Kementerian Kesihatan sangat menggalakkan pemakaian pelitup muka terutama di kawasan awam. Kalau tempat awam, kita harus pakai pelitup muka jika penjarakan sosial sukar dijalankan atau pun tempat berisiko tinggi kita sangat galakkan.
“Sekarang kita masih belum mewajibkan. Kalau kita wajibkan dalam Akta 342, jadi kita akan pertimbangkan sebab individu itu akan dikenakan denda kalau tak pakai pelitup muka iaitu RM1,000 atau pun boleh dipenjarakan.
“Jadi kita melihat kepada tindakan denda atau pun penjara bagi mereka yang tak pakai pelitup muka. Itu yang kita sedang teliti sebelum kita laksanakan untuk mewajibkan pakai pelitup muka,” katanya pada sidang media harian perkembangan semasa COVID-19 di sini, hari ini.