Seorang jurutera dijatuhi hukuman maksimum penjara setahun dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini Jumaat kerana menulis komen menghina Sultan Perak dalam satu laman web pada Feb lepas.
Chan Hon Keong, 29, didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda dan penjara maksimum tersebut jika sabit kesalahan.
Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin yang mendengar hujah pendakwaan di akhir perbicaraan, juga memerintahkan Chan dipenjara lima bulan jika dia gagal menjelaskan denda tersebut.
Ahli keluarga tertuduh termasuk isterinya, Khoo Hui Suang, 28, dilihat menitiskan air mata selepas mendengar keputusan hukuman.
Pada 15 April lalu, Chan mengaku tidak bersalah selepas didakwa bersama isterinya Khoo, kerana mengedar komen lucah menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, melalui ruang siber.