Mahkamah Sesyen hari ini membenarkan permohonan untuk merujuk Muhdalena Ahmad, yang menghadapi tuduhan insiden mengamuk di pekarangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Julai lalu, agar menjalani pemeriksaan mental.
Malah, hari ini dia menghadapi dua tuduhan baru.
Peguamnya, M. Visvanathan memberitahu mahkamah bahawa terdapat keterangan prima facie bahawa anak guamnya mempunyai gejala ‘depress’, yang berkemungkinan dia tidak dapat memahami dan menilai perbicaraan yang dijalankan ke atasnya.
Visvanathan, yang merujuk laporan perubatan Pakar Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Putrajaya, Dr Umi Adzlin Silim, berkata anak guamnya disaran dirujuk kepada Pakar Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta bagi menjalani penilaian dan rawatan di fasiliti yang mempunyai pengkhususan dan berkepakaran tinggi dalam menilai tahap mental Muhdalena.
Menurut laporan perubatan yang dikemukakan di mahkamah, Muhdalena masih mengalami gejala kemurungan, namun semakin berkurangan.
Beliau masih mengalami mimpi-mimpi buruk dan kejadian pelik di mana kadang-kadang dia merasakan dirinya seorang ‘pahlawan’ dari zaman silam yang bersedia untuk bertempur pada bila-bila masa.
Laporan perubatan itu juga menyebut, gejala delusi yang dialaminya semakin terkawal.
Bagaimanapun tidak lagi mengalami halusinasi mendengar suara ghaib, namun masih mendengar suara berdesing di telinga.
Visvanathan juga berkata, Muhdalena mengambil beberapa jenis ubat-ubatan termasuk ubat antikemurungan, ubat antipsikotik bagi mengatasi gejala-gejala tersebut.
Hakim Mahkamah Sesyen, Mohamad Kamil Nizam menetapkan Muhdalena, 28, perlu mengikuti pemeriksaan selama sebulan dan menangguhkan perbicaraan kes tersebut sehingga menerima laporan perubatan.
Dalam pada itu, ketika prosiding hari pertama perbicaraan hari ini, Muhdalena menghadapi dua lagi pertuduhan baru dan mengaku tidak bersalah atas kedua-dua kesalahan tersebut.
Pertuduhan baru pertama membabitkan kesalahan, tidak mematuhi perintah yang diberikan Lans Koperal Ridzuan Megat Ahmad, seorang pegawai berkuasa meletakkan senjata di kawasan yang telah diisytiharkan sebagai satu kawasan larangan mengikut Perintah Kawasan-kawasan Larangan (No. 2) 2000.
Beliau turut menghadapi tuduhan tidak mematuhi perintah yang diberikan menteri dengan berada di premis (tempat kejadian) tanpa memiliki paskad atau permit yang dikeluarkan pihak berkuasa.
Kesalahan-kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 4(2) dan 5(1) Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 7 akta sama, yang mana jika sabit kesalahann dia berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda sebanyak RM1,000 atau kedua-duanya.
Hakim Mohamad Kamil Nizam membenarkan Muhdalena diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan baru itu, serta membenarkan kedua-dua kes dibicarakan bersama dua lagi tuduhan yang dihadapinya sebelum ini.
Julai lalu, ibu kepada dua anak itu didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut mendatangkan cedera parah kepada seorang anggota dan tuduhan kerana membawa sebilah pedang.
Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Kompleks B, JPM, Presint 1, Putrajaya kira-kira pukul 2.30 petang, 9 Julai lalu.
Kesalahan pertama didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi tuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding hari ini, Muhdalena hadir di mahkamah sambil ditemani ibu, bapa, suami dan anak-anaknya.
Kes ditangguh sehingga 23 November ini.
….
…
Wanita yang mengamuk bersama pasangannya di perkarangan Jabatan Perdana Menteri, Mudhalena Ahmad diperintah ditahan dan dihantar ke hospital sakit jiwa.
Keputusan dibuat Hakim Mahkamah Sesyen Putrajaya, Mohamed Kamil Nizam selepas peguamnya memohon untuk mendapatkan pemeriksaan lanjutan berdasarkan saranan doktor yang merawat wanita berkenaan.
Muhdalena, 28 tahun didakwa melakukan jenayah ugutan dan memiliki sebilah pedang di perkarangan JPM, 9 Julai lalu.
Dia diarah menjalani pemeriksaan mental dalam tempoh sebulan.
Sehubungan itu, mahkamah menangguhkan perbicaraan yang sepatutnya berlangsung selama dua hari.
Terdahulu, peguam M. Visvanathan memberitahu mahkamah bahawa doktor merawat Muhdalena mendakwa wanita itu mengalami kemurungan dan gejala psikotik iaitu delusi dan halusinasi.
23 November ditetapkan untuk sebutan semula kes.