Disebalik saranan agar Datuk Seri Abdul Hadi Awang diangkat sebagai Perdana Menteri, Presiden PAS itu memilih untuk memberi laluan kepada pemimpin lain dalam pakatan pembangkang menerajui kepimpinan utama negara.
Malah Ahli Parlimen Marang itu berkata beliau lebih layak untuk menjadi khadam kepada rakyat kerana menganggap jawatan berkenaan merupakan satu amanah yang berat.
“Seboleh-bolehnya saya (hanya mahu) menjadi khadam kepada rakyat.
“Sebagai seorang pemimpin yang diajar dalam sebuah parti Islam, kita tak boleh minta jadi pemimpin. Saya anggap ini (jawatan Perdana Menteri) merupakan sebuah amanah yang berat dan besar…itu satu tanggungjawab,” katanya pada sidang media pada Muktamar Tahunan PAS ke-58 di sini, Sabtu.
Abdul Hadi berkata demikian sebagai mengulas mengenai saranan perwakilan Dewan Ulama agar beliau diangkat sebagai calon Perdana Menteri sekiranya pembangkang berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.
Cadangan perwakilan Dewan Ulama, Hairun Nizam itu sekaligus dilihat bahawa sayap parti itu menolak persepakatan pakatan pembangkang untuk mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh.
Mengulas lanjut Abdul Hadi bagaimanapun berkata, isu calon Perdana Menteri sepatutnya hanya dibangkitkan selepas pembangkang berjaya memenangi pilihan raya akan datang.
“Apa yang penting ialah kita menang dulu dalam pilihan raya. Soal siapa jadi Perdana Menteri (ialah pemimpin) yang diterima oleh rakyat, dapat menyatukan rakyat serta dapat menegakkan keadilan untuk rakyat…itu kita terima,” katanya.
Bagaimanapun Abdul Hadi mengelak untuk menjawab kepada soalan siapakah pemimpin pembangkang yang difikirkannya layak untuk menjadi Perdana Menteri.
“Itu kita tunggu bila tiba masa,” katanya ringkas.
Januari lalu, pakatan pembangkang pernah menyatakan pendirian bahawa Anwar akan dilantik Perdana Menteri sekiranya mereka memenangi PRU-13 kerana beliaudianggap ‘paling bersih’, dan tiada calon yang lebih layak di dalam pembangkang untuk memegang jawatan berkenaan.
Malah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga pernah berkata, tiada pemimpin di kalangan PKR, DAP dan PAS yang lebih layak daripada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri yang ketujuh sekiranya pakatan mereka menang pilihan raya akan datang.