Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan mengambil tindakan terhadap Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa yang didakwa membuat kenyataan memfitnah jabatan itu menerusi laman sosial.
Pengarahnya Datuk Che Mat Che Ali yang juga Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berkata Husam dalam kenyataan menerusi Facebook 125 Putrajaya antara lain mendakwa Jawi bertindak memecat serta-merta anggota jawatankuasa (AJK) surau Abdul Rahman Auf di Presint 11, selepas AJK surau berkenaan membenarkan beliau berta’aruf dengan makmum surau, selepas solat Isyak pada 20 Apri1 lalu.
Bercakap pada sidang media di pejabat Jawi di sini, Che Mat Ali mengakui pihaknya ada memanggil AJK Surau berkenaan, namun menafikan dakwaan kononnya Jawi mengambil tindakan memecat AJK terbabit.
“Sehubungan itu, saya sudah mengarahkan pegawai Jawi untuk membuat laporan polis berhubung kenyataan Husam, di samping mengambil tindakan saman terhadap Naib Presiden PAS itu,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa semua surau perlu mematuhi arahan pekeliling Masjid/Surau 2011, yang jelas memaklumkan bahawa Majlis mempunyai kuasa untuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap kariah atau sesiapa sahaja yang menggunakan masjid dan surau untuk kepentingan individu dan politik.
Che Mat berkata dalam perjumpaan beliau dengan AJK surau itu pada 24 April lalu, mereka hanya dinasihat, ditegur dan diingatkan mengenai peraturan berkenaan, sambil menambah ia penting dalam menjaga kesucian masjid dan surau.
Beliau berkata kehadiran Husam di surau berkenaan bukan atas jemputan sesiapa dan AJK surau itu juga tidak menerima sebarang permohonan rasmi daripada Husam.
Menurutnya berdasarkan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 atau dikenali sebagai Akta 505, sebagai setiausaha MAIWP, beliau diberi kuasa dan bertanggungjawab untuk memelihara kesucian rumah Allah.
Katanya mengikut Seksyen 97 Akta berkenaan, individu yang didapati mengajar perkara berkaitan agama Islam tanpa tauliah di mana-mana masjid, boleh didakwa dan jika sabit kesalahan ia membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun.
“Saya rayu semua yang cuba guna masjid atau surau di Wilayah Persekutuan ini, supaya tidak sewenang-wenangnya langgar akta ini demi menjaga keharmonian,” katanya menambah sejak Dewan Rakyat dibubarkan, terdapat pihak yang cuba membawa agenda politik mereka ke dalam masjid.