BINTULU – Lima maut manakala enam parah selepas van dinaiki sekumpulan 14 pekerja warga Indonesia merempuh sebuah lori rosak yang ditinggalkan di bahu jalan di Kilometer 52, Jalan Pesisir Miri-Bintulu malam tadi.
Dalam kejadian pukul 8 malam itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Anwar, 28; Robet Mukyatim, 31; Imron Kurnuva, 29; Surasman, 21, dan Zainal Abidin, 24.
Kesemua mereka yang merupakan penumpang van meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Enam lagi penumpang iaitu Rahmad Baitullah, 20; Junaidi, 23; Muhammad Sofyan, 30; Muhammad Nur Hairul Hafifi, 23; Mohammad Jubri, 34 dan Bahrudin Rasyid, 29, cedera parah.
Pemandu van jenis Toyota tersebut yang juga warga Indonesia, Muhammad Mudaris, 22, serta dua penumpang lain, Supeide, 31, dan Usman, 30, pula hanya mengalami kecederaan ringan. Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Bintulu.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Madang Usat berkata, van dinaiki 14 lelaki yang bekerja di kawasan Perindustrian Samalaju tersebut dalam perjalanan membawa semua penumpang pulang selepas tamat waktu kerja.
“Sebaik sahaja tiba berhampiran simpang Ladang Takau, pemandu van itu tidak menyedari kelibat sebuah lori yang ditinggalkan pemiliknya di tepi jalan akibat terbakar kira-kira pukul 2 petang semalam.
“Dia gagal mengawal van dipandunya lalu merempuh bahagian kanan lori berkenaan. Rempuhan kuat menyebabkan van itu terbabas ke bahu kanan jalan dan terjunam ke dalam parit,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Madang memberitahu, siasatan awal mendapati nahas dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu van tersebut.
Sehubungan itu katanya, polis telah menahan pemandu terbabit untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.