Akhir-akhir ini, Malaysia diasak dengan begitu hebat oleh berbagai pertubuhan (NGO) yang mewakili fahaman liberal. Selain memakai nama NGO, mereka juga turut berjuang melalui politik secara tidak langsung. Kita dapat melihat sendiri bagaimana parti seperti PKR dan DAP turut memberi sokongan kepada perjuangan liberal NGO-NGO ini.
Bagi memberi ‘impak’ kepada perjuangan mereka, golongan berfahaman liberal ini telah memilih untuk menubuhkan kerjasama yang diberi nama COMANGO. Kononnya, dengan menunjukkan yang begitu banyak NGO yang turut membawa suara yang sama maka ia bermakna mereka mewakili jumlah rakyat Malaysia yang ramai.
Hakikatnya, hampir kesemua NGO yang disenaraikan diwakili oleh muka-muka yang sama. Malah, muka-muka yang sama juga turut berada dalam parti politik pembangkang tadi. Ini menunjukkan yang mereka sebenarnya tidak mewakili seramai mana rakyat Malaysia, tetapi hanya segelintir sahaja yang sama ada benar-benar berpegang kepada fahaman liberal, ataupun sekadar membenci Islam dengan sepenuh hati.
Oleh kerana COMANGO turut menjulang demokrasi, maka COMANGO seharusnya faham bahawa kerajaan tidak boleh mengutamakan tuntutan mereka yang hanya mewakili segelintir rakyat sedangkan ianya bertentangan dengan pegangan majoriti.
Namun, jelas COMANGO gagal memahami konsep demokrasi yang dilaung-laungkan mereka sendiri.
Perkara-perkara yang dibangkitkan oleh COMANGO adalah haram menurut Islam. Contohnya, hak LGBT dan hak umat Islam untuk murtad.
Mungkin kerana COMANGO gemar memperjuangkan perkara haram, maka pertubuhan itu juga lebih selesa untuk wujud secara haram. COMANGO tidak berdaftar dengan ROS atas alasan ia sebuah kerjasama dan tidak perlu berdaftar.
Bukan sahaja COMANGO itu haram tetapi rakan sekutu mereka seperti SUARAM juga haram. Malah, Pakatan Rakyat yang ‘mesra’ COMANGO juga terbentuk secara haram iaitu tidak pernah berdaftar. Tidak cukup dengan itu, salah satu parti sekutu pakatan itu, iaitu DAP juga ditadbir oleh jawatankuasa haram!
Sebuah perjuangan haram, yang diterajui oleh kerjasama haram di kalangan kumpulan yang juga haram atau separa haram tentulah tidak layak untuk mempertikaikan undang-undang yang sah, apatah lagi agama.
COMANGO kononnya memperjuangkan hak asasi manusia tetapi di masa yang sama ia mempertikai hak Islam dan umat Islam ke atas agamanya dan negaranya. COMANGO seolah-olah ingin semua manusia mengikut ‘kepala-otak’ mereka dalam menentukan peraturan hidup di dunia.
Sedangkan dunia ini telah pun dijadikan dengan peraturan. Kitaran planet di atas paksi masing-masing, kejadian malam dan siang malah aliran darah di dalam tubuh manusia juga mengikut peraturan yang tepat dan sempurna. Sekiranya ditukar atau berubah, maka bencanalah jawabnya. Ini adalah logik akal yang turut ditekankan dalam agama Islam.
Oleh itu, Islam menetapkan hukum yang tepat dan sempurna juga untuk kehidupan manusia di mana lelaki pasangannya perempuan bukan lelaki dengan lelaki atau perempuan dengan perempuan. Sekiranya hukum ini diabaikan maka ia bakal membawa bencana dalam masyarakat iaitu keruntuhan moral dan penyakit yang mampu berjangkit dan berterusan dalam susur galur keturunan.
Dalam COMANGO mendabik dada sebagai berfikiran terbuka, fikiran mereka sebenarnya tertutup kerana enggan menerima pendapat dan pandangan orang lain. Otak mereka langsung tidak mampu menerima sebarang maklumat berbeza dari pendapat mereka kerana merasakan mereka telah tahu segala-galanya. Akhirnya, tinggallah mereka di alam yang sempit kononnya mencapai puncak tamadun walhal, apa yang diperjuangkan mereka adalah bertentangan dengan tamadun.
COMANGO terus berdiri megah konon diperakui oleh pertubuhan hak asasi antarabangsa dan atas sebab itu mereka tidak perlu berdaftar. Bagaimanapun, kenyataan COMANGO ini hanya menguatkan lagi bukti bahawa mereka membawa agenda asing yang bertentangan dengan aspirasi negara.
Tindakan memaksa ajaran dan fahaman asing ke atas Malaysia membuktikan hipokrasi COMANGO. Ini kerana jika benar berpegang kepada hak asasi dan kebebasan, kenapakah Malaysia tidak boleh dibiarkan bebas membentuk negara mengikut acuan Islam?
Apakah Malaysia dan umat Islam tidak mempunyai hak asasi?