Rupa-rupanya, Australia telah menemui objek yang dipercayai serpihan pesawat MH370 jauh lebih awal. Namun, negara itu telah mengambil masa sehingga 3-4 hari untuk melaporkannya kepada kerajaan mereka, sebelum menyampaikan berita itu kepada para pasukan mencari dan menyelamat di Malaysia.
Kita faham bahawa Australia memerlukan masa untuk mengenalpasti dan mengesahkan perkara tersebut sebelum mengumumkannya. Dan kita tidak mencurigai atau menuduh Australia sebagai sengaja melambat-lambatkan atau menyembunyikan maklumat. Malah, kita menghargai sikap tanggungjawab Australia yang ingin mengesahkan terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa pengumuman.
Nampaknya, pembangkang negara ini serta media-media asing turut menerima alasan Australia yang tidak melaporkan penemuan itu segera. Malah, mereka juga turut menerima penjelasan bahawa kapal-kapal Australia memerlukan 3-4 hari lagi untuk sampai ke kawasan di mana objek tersebut dikesan. Mereka juga menerima takdir, sepertimana penjelasan Australia, bahawa cuaca buruk pada ketika ini, bakal melambatkan lagi usaha pencarian.
Tidak ada sedikit pun rungutan atau persoalan dikemukakan oleh mana-mana pihak tentang kelambatan Australia bertindak. Tiada tekanan kepada Australia untuk memberi penjelasan lanjut atau apa saja sepertimana yang terpaksa dihadapi oleh pihak Malaysia.
Soalnya, kenapa ‘double standard’? Kenapa setiap penjelasan dari Malaysia enggan diterima dengan dengan baik? Kenapa setiap minit yang diambil oleh pihak Malaysia untuk mencari dan terus mencari dihentam sebagai lembab? Kenapa setiap maklumat yang diumumkan oleh pihak Malaysia dituduh sebagai tidak lengkap?
Bayangkan jika Malaysia mengambil masa 4 hari untuk mengumumkan penemuan seperti itu dan aset yang ada pula perlu mengambil masa 4 hari lagi untuk sampai ke kawasan penemuannya, maka pasti riuh-rendahlah pembangkang dan media asing mengutuk Malaysia sebagai tidak cekap. Bukan itu saja, Malaysia juga akan turut dipersalahkan jika memberi alasan cuaca buruk bakal melambatkan proses pencarian.
Pendek kata, apa saja yang Malaysia lakukan akan dianggap tidak kena, tidak tepat dan salah sama sekali sehinggakan cuaca buruk juga akan dipersalahkan atas kerajaan Malaysia.
Apa yang berlaku ini membuktikan bahawa mentaliti dijajah yang mengagungkan kulit putih masih terpahat kuat di dalam minda pembangkang.
Manakala media asing pula masih dengan mentaliti penjajah dan menganggap diri mereka sebagai lebih tinggi kedudukannya dari bangsa lain. Oleh itu, segala yang dibuat oleh bangsa Asia akan dikritik tetapi jika bangsa kulit putih berbuat perkara yang sama akan diterima dengan baik oleh mereka.
Berdasarkan hakikat ini, Malaysia, terutamanya kepimpinan dan mereka yang terlibat secara langsung dalam misi mencari dan menyelamat MH370, tidak harus mengambil pusing dengan kritikan pembangkang dan media asing. Abaikan mereka itu semua sebagai manusia hipokrit dan busuk hati.
Hari ini, setiap manusia yang rasional akan dapat melihat pihak mana yang baik dan pihak mana yang merupakan perosak di muka bumi ini.
Sesungguhnya, Malaysia telah berusaha dengan sedaya upaya bukan sahaja untuk mencari MH370 tetapi juga untuk menangani emosi dan keperluan keluarga mereka yang sedang menunggu berita.
Biarpun dicemuh dan dituduh dengan berbagai-bagai tuduhan yang amat berat, tetapi pihak Malaysia kekal tenang dan professional dalam menghadapi apa jua dugaan. Tidak ada dari pihak pemimpin dan pegawai kita yang emosional dalam menangani kebiadapan sesetengah pihak. Tiada rungutan walaupun segala penat lelah mereka bertungkus lumus selama dua minggu tanpa rehat, langsung tidak dihargai, hatta dibalas pula dengan caci maki.
Professionalisme dan komitmen Malaysia telah pun diiktiraf oleh semua 26 negara yang turut membantu dalam pencarian ini dan itu sudah cukup kerana Malaysia bukan melakukan ini kerana ingin dipuji, tetapi atas sikap kemanusiaan dan juga tanggungjawab yang tidak berbelah bagi.
Mereka yang celik hati, pasti mampu melihat insiden ini sebagai panduan dan pedoman dalam menilai kerajaan.
Hakikatnya, Malaysia telah dibantu oleh begitu ramai pakar dengan berbagai teknologi canggih tetapi mereka juga tidak mampu mencari MH370. Ini bermakna, bukan Malaysia yang salah, tetapi ia takdir yang tidak dapat diubah mahupun dijelaskan.
Australia pula mengambil masa 3-4 hari untuk mengesahkan sesuatu penemuan. Ini bermakna, Malaysia tidak pernah lembab dalam menjalankan misi ini, tetapi kerja-kerja pengesahan sememangnya amat sukar dilakukan.
Justeru, pada hari ini kita semakin bangga menjadi rakyat Malaysia. Kita bangga mempunyai pemimpin yang tenang, sabar dan kekal fokus biarpun di saat yang amat tegang. Biarlah para pengkhianat dari pihak pembangkang dan juga media asing cuba merosakkan nama baik kita tetapi kita yakin nama Malaysia tetap harum atas keindahan budi dan adab para pemimpin kita.
Semakin terserlah kini bahawa yang buruk dan busuknya adalah nama mereka yang sanggup mempolitikkan nyawa manusia serta tidak tahu menghargai usaha yang ikhlas lagi murni.