MELBOURNE: Beberapa ratus anggota keluarga penumpang serta kru pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dijangka tiba di Perth dalam tempoh beberapa minggu ini, lapor agensi berita Australian Associated Press (AAP).
Laporan itu memetik Ketua Menteri Australia Barat Colin Barnett yang turut berkata pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan China memandangkan sebahagian besar daripada 227 penumpang ialah warga China.
“Masih belum jelas bagaimana akan tetapi saya difahamkan ramai anggota keluarga penumpang, terutamanya warga China, akan mahu ke Perth untuk berada sedekat mungkin dengan apa yang dipercayai tempat terakhir saudara mereka,” katanya menerusi radio Fairfax pada Rabu.
Pangkalan Udara Pearce di Perth menjadi hub operasi pencarian pesawat yang pada Isnin lepas disahkan penerbangannya berakhir di kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi.
Barnett berkata selaku kerajaan negeri, pihaknya akan berusaha membantu dan memastikan segala keperluan keluarga penumpang MH370 dipenuhi termasuk mengadakan upacara memperingati mangsa jika perlu.
Sementara itu, Datuk Bandar Perth, Lisa Scaffidi berkata bandar raya tersebut bersedia menjadi tuan rumah kepada waris penumpang dan kru MH370.
“Kami berharap dan berdoa pesawat dan kotak hitamnya akan ditemui secepat mungkin,” katanya