Bekenu-Sarawak: Seorang warga emas berdepan detik menakutkan selepas bergelut hampir lima minit dengan buaya yang membaham kakinya dalam kejadian di Sungai Suai dekat Rumah Panjang Gerang, di sini, kelmarin.
Nasib baik keberanian wanita itu menendang mata buaya yang menyambar kaki kanannya dapat menyelamatkannya daripada dibaham reptilia ganas itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, Manggin Nueng, 65, dikatakan baru selesai membasuh pakaian di tebing sungai berkenaan tanpa menyedari kehadiran buaya itu.
Bagaimanapun, ketika bersiap mahu pulang ke rumah panjangnya, reptilia ganas itu tiba-tiba muncul lalu menyambar kaki kanan Manggin sebelum cuba mengheretnya ke tengah sungai.
Manggin berkata, sebaik kakinya disambar dia menjerit meminta pertolongan anak perempuannya yang kebetulan sedang mandi tidak jauh dari lokasi kejadian supaya mendapatkan bantuan penduduk rumah panjang mereka.
“Buaya itu cuba mengheret saya ke tengah sungai… saya hampir lemas ketika itu. Saya kuatkan semangat dan berkata pada diri sendiri, saya tidak mahu mati lalu menendang mata buaya itu sekuat hati.
“Hampir lima minit saya bergelut, buaya itu kemudian melepaskan gigitannya. Saya berenang ke tebing sungai sambil dibantu anak perempuan dengan kaki kanan berlumuran darah,” katanya ketika ditemui di Hospital Miri, di sini semalam.
Manggin berkata, dia bernasib baik kerana terselamat daripada serangan buaya itu, apatah lagi saiz reptilia itu yang agak besar.
Katanya, insiden serangan buaya itu kali pertama berlaku di kawasan jeti berhampiran rumah panjangnya itu.
“Memang pernah berlaku serangan, tidak sangka kali ini ia berlaku di kawasan kami. “Saya pernah lihat buaya muncul di sungai, namun kejadian yang menimpa saya ini adalah serangan pertama membabitkan penduduk rumah panjang kami,” katanya.
Difahamkan, penduduk rumah panjang Gerang bergantung kepada Sungai Suai untuk mandi dan membasuh pakaian berikutan tiada bekalan air bersih disalurkan kepada penduduk di penempatan terbabit.
Sementara itu, jurucakap Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dalam satu kenyataan memaklumkan agensi terbabit sudah menghantar pegawai dan kakitangan dari Pasukan Khas Hidupan Liar (SWAT) untuk melakukan operasi menangkap buaya berkenaan.
“Kita sudah memasang perangkap (pancing) di sungai berkenaan untuk menangkap buaya yang mengganas di sungai berkenaan. “Sehingga hari ini (semalam) belum ada buaya terperangkap di situ,” katanya.