Selepas ditangguhkan lebih 20 tahun, kini kelihatannya seperti dengan hanya selangkah sahaja lagi, hasrat kerajaan negeri pimpinan PAS untuk melaksanakan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) di negeri Cik Siti Wan Kembang akan menjadi kenyataan.
Ini kerana rang undang-undang persendirian itu, yang hanya terpakai ke atas orang Islam yang mukallaf sahaja apabila dilaksanakan kelak, telah diluluskan sebulat suara oleh kesemua 44 anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) pada sidang DUN. Khamis.
Bagaimanapun, keputusan ini telah dijangka oleh banyak pihak sejak awal lagi memandangkan PAS menguasai dua pertiga kerusi DUN di negeri itu dan ditambah pula dengan perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.
Kesemua 44 anggota DUN itu, yang terdiri daripada 31 PAS, 12 UMNO dan seorang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil masa dua hari sahaja untuk membahas dan meluluskan rang undang-undang itu sekaligus mempamerkan keterbukaan dan memberi ruang dan peluang untuk kerajaan negeri melaksanakannya.
DUN Kelantan mempunyai 45 kerusi kesemunya. Satu lagi kerusi yang dimiliki PAS iaitu DUN Chempaka kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 12 Feb lepas.
Pilihan raya kecil DUN itu menyaksikan pertandingan lima penjuru dan Ahad ini (22 Mac) adalah hari pengundian.
MAJORITI MUDAH
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada Khamis dilapor sebagai berkata pihaknya memerlukan majoriti mudah untuk rang undang-undang persendirian itu diluluskan di Parlimen.
Persoalannya, mampukah PAS peroleh majoriti mudah daripada anggota Parlimen beragama Islam memandangkan rakan sekutunya PKR dan DAP sejak awal lagi tidak mahu berkompromi dengan hasrat parti itu?
Hasrat kerajaan negeri itu hanya mampu direalisasikan sekiranya rang undang-undang itu yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat dalam masa terdekat ini mendapat sokongan padu daripada anggota Parlimen yang beragama Islam, yang terdiri daripada UMNO, PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dari Sarawak dan Bebas.
Pada masa ini terdapat seramai 135 anggota Parlimen yang beragama Islam iaitu UMNO dengan 88 anggota, PAS (21), PKR (15), PBB (10) dan Bebas (satu).
Mengambil sentimen semasa, PAS pada masa ini hanya boleh mengharapkan sokongan daripada UMNO, PBB dan wakil rakyat Bebas sekurang-kurangnya mencapai undian sebanyak 120 anggota tanpa mengambil kira sokongan PKR, jauh sekali DAP yang konsisten menentang pelaksanaan hukum hudud.
Pensyarah Kuliah Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata untuk meminda akta bidang kuasa, yang diperlukan adalah majoriti mudah dan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan ia memerlukan majoriti dua pertiga di Parlimen.
“Saya masih tidak faham bagaimana kerajaan negeri mahu membentangkan rang undang-undang persendirian itu di peringkat Parlimen. Kalau nak pinda akta mestilah datang daripada Kerajaan Persekutuan dan mesti mengikut tata cara yang ditetapkan,” katanya.
Rang undang-undang pindaan itu dikatakan bertujuan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dan Perkara 76A (1) Perlembagaan Persekutuan.
Persoalannya, adakah semudah itu untuk meminda Perlembagaan Persekutuan?
Perkara 76A (1) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada negeri melaksanakan kanun jenayah syariah itu. Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab membawa pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah tersebut yang berkaitan dengan bidang kuasa mahkamah syariah.
Apakah ia akan berlaku?
Shamrahayu menjelaskan akta adalah undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen dan menjadi akta Persekutuan manakala Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara yang hanya boleh dipinda dengan majoriti dua pertiga di Parlimen.
GAGAL ATAU BERJAYA
Berjayakah PAS realisasikan hasratnya?
Pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Terengganu Che Hamdan Che Mohd Razali berpendapat soal sama ada berjaya atau tidak bukanlah pokoknya, sebaliknya adalah lambang kejayaan parti itu untuk cuba menjadikan hasrat sebagai kenyataan.
“Seingat saya tidak pernah lagi ‘private bill’ diterima dan diluluskan. Jika diterima untuk dibahas dan kalau tidak lulus atau mungkin juga lulus, pada saya ini adalah kejayaan buat PAS dan ia adalah sejarah.
“Dalam masa yang sama ia meningkatkan imej UMNO yang telah pun membuktikan dan mengotakan keikhlasannya dengan menyokong hasrat PAS sekaligus ia mencerminkan ke arah perpaduan Melayu,” katanya.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed pada Khamis dilapor sebagai berkata bahawa pihaknya akan konsisten dalam keputusannya menyokong rang undang-undang persendirian mengenai hudud jika dibawa oleh mana-mana anggota Parlimen PAS di Dewan Rakyat selepas ini.
ADUN BN Kok Lanas Datuk Md Alwi Che Ahmad pada sesi perbahasan dalam sidang DUN Kelantan pada Khamis dilapor berkata tindakan menyokong hukum hudud, qisas dan takzir adalah kerana Allah.
PAKATAN KIAN RETAK
Che Hamdan berkata ekoran kejayaan meluluskan hukum hudud itu di peringkat negeri, PAS kini mungkin menjadi mangsa kepada keegoan rakan sekutunya PKR dan DAP.
Beliau berkata sama ada PAS mahu pun DAP, pada masa ini kedua-dua pihak mengambil sikap tunggu dan lihat sama ada akan disingkirkan atau kekal dalam pakatan pembangkang.
“Keretakan yang semakin terbuka ini jelas memberi impak yang sangat besar kepada Pakatan Rakyat dari segi sokongan pengundi kepada ketiga-tiga parti. DAP mungkin akan mendakwa PAS mengkhianati amanah rakyat yang mengundi Pakatan Rakyat dan tindakan memperkenalkan hukum hudud adalah bertentangan dengan hak asasi.
“Manakala PAS akan mendakwa DAP tidak menghormati dasar perjuangan parti itu,” katanya.
Seorang anggota Parlimen DAP pada Khamis meminta semua anggota pakatan pembangkang menggantung sebarang bentuk kerjasama dengan PAS buat sementara waktu sebagai tanda protes terhadap tindakan parti itu membentangkan rang undang-undang hudud di Kelantan.
Benarkah PAS memerlukan hanya selangkah sahaja lagi?