Maklumat terbaru yang dikumpulkan oleh pasukan penyiasat nahas pesawat Germanwings mendapati, terdapat kemungkinan yang besar, pembantu juruterbang, Andreas Lubitz memasukkan sejenis ubat ke dalam kopi kapten pesawat itu, Patrick Sondenheimer untuk memaksanya pergi ke tandas.
Lubitz, 27, yang dikenalpasti sebagai orang yang bertanggungjawab menghempaskan pesawat itu di pergunung Alps di Perancis sehingga mengorbankan 150 orang penumpang termasuk dirinya dan anak kapal dipercayai meletakkan ubat jenis diuretik ke dalam cawan kopi kapten pesawat Airbus 320 tersebut.
Ubat ini akan meransang penggunanya lebih kerap ke tandas untuk membuang air kecil.
Ini bagi membolehkan Lubitz meneruskan rancangannya untuk membunuh diri dan juga semua penumpang pesawat berkenaan dalam insiden 24 Mac lalu.
Dia telah disahkan menghidapi masalah depresi dan kebimbangan yang lesen penerbangannya tidak akan diperbaharui kerana masalahnya itu.
Akhbar UK, The Daily Mirror memetik laporan dari Jerman yang menyebut maklumat terbaru ini diperolehi menerusi pemeriksaan forensik ke atas komputer Lubitz yang dirampas oleh polis Jerman di kediamannya.
Maklumat dari komputer itu dipercayai mendedahkan yang Lubitz memeriksa atau mencari maklumat mengenai diuretik dan kegunaannya untuk melaksanakan rancangan gilanya itu.
Maklumat terbaru ini muncul di tengah-tengah gesaan ramai supaya Kapten Sondenheimer diberi penghormatan yang lebih sempurna kerana cubaannya untuk menyelamatkan pesawat itu dari tangan Lubitz.
Kapten yang berusia 34 tahun itu dan merupakan bapa kepada dua orang anak yang baru berusia tiga dan enam tahun itu telah memohon untuk diletakkan di dalam jadual penerbangan jarak pendek dalam usahanya untuk meluangkan lebih banyak masa bersama-sama anaknya.
Nampaknya hasratnya itu tidak kesampaian.
Sebelum ini, hasil rakaman suara dari kokpit mendapati, Lubitz telah mengunci pintu kokpit sebaik sahaja kapten pesawat itu keluar untuk ke bilik air.
Dia kemudiannya telah didapati menggunakan alat kawalan khas untuk menutup kod laluan masuk semula ke kokpit dalam usahanya untuk menghalang Kapten Sondenheimer daripada kembali ke kokpit semula.
Dalam tempoh lapan minit dia berada seorang diri di dalam kokpit, Lubitz telah tidak memperdulikan rayuan kaptennya yang menjerit “Demi Tuhan, tolong buka semula pintu ini…” sebaliknya dia (Lubitz) memandu pesawat itu turun ke paras yang lebih rendah sehinggalah terhempas.
Kelajuan pesawat ketika ia terhempas ialah 400km sejam.
Sementara itu Lufthansa, syarikat induk kepada Germanwings, telah mengarahkan semua staf mereka agar tidak memakai uniform dalam majlis mengenang mereka yang terkorban dalam insiden itu pada 17 April nanti.