Tujuh kedai makan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar, Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) musnah dalam kebakaran, tengah hari tadi.
Bomba yang menerima panggilan pada jam 1.35 tengah hari mengerahkan lima jentera bersama 32 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jalil, Seputih, Sungai Besi, Taman Tun Dr Ismail dan Hang Tuang ke lokasi.
Jurucakap bomba memberitahu kebakaran dapat dikawal pada jam 2.13 petang dan setakat ini tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Katanya, kerja-kerja memadamkan sisa kebakaran masih dilakukan dan siasatan untuk mencari punca kebakaran sedang dilakukan oleh pasukan forensik bomba.