https://www.youtube.com/watch?v=njZKmnrURQo
Pengarah agensi pekerjaan warga Britain mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua tuduhan iaitu mengugut untuk mencederakan jurutera dan memecahkan cermin kereta yang dinaikinya di Lebuhraya Utara-Selatan menghala Seremban, Ahad lalu.
Tertuduh, Mcgruer Kenneth George, 40, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Dzulzalali Isram Osman, 30, di Kilometer (KM) 305 Lebuhraya Utara-Selatan dari Kuala Lumpur menghala Seremban, antara 6.25 hingga 6.30 petang.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM11,000 dengan dua penjamin warga tempatan serta menetapkan 4 Disember ini sebagai sebutan semula selain pasport ditahan sehingga kes selesai.
Semalam, kejadian pembuli jalan raya warga Britain yang menyerang serta memecahkan cermin kenderaan milik lelaki menjadi viral di laman sosial selepas video berdurasi 2 minit 44 saat dimuat naik mangsa.