PADANG BESAR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melalui KTM Intercity melancarkan perkhidmatan baharu tren ulang alik (shuttle) antara Padang Besar dan Hat Yai bermula esok.
Perkhidmatan dengan dua perjalanan setiap arah menawarkan tambang THB80 sehala.
Presiden KTMB, Sarbini Tijan berkata perkhidmatan tren tersebut bermula seawal pukul 7.30 pagi waktu Thailand di Stesen Hat Yai dan mengambil masa kira-kira 55 minit perjalanan sebelum tiba di Stesen Padang Besar dan mampu menampung sehingga 168 penumpang bagi setiap perjalanan.
“Tren yang sama akan bergerak semula ke Hat Yai pada pukul 9.55 pagi waktu Malaysia sementara perjalanan kedua dari Hat Yai ke Padang Besar akan mula beroperasi pada pukul 1.05 tengah hari waktu Thailand.
“Perjalanan terakhir dari Stesen Padang Besar ke Hat Yai akan bertolak pada pukul 3.40 petang waktu Malaysia, katanya.
Sarbini berkata perkhidmatan shuttle antara Hat Yai dan Padang Besar akan menggunakan set keretapi diesel (DRC) milik State Railway of Thailand (SRT).
Tren dari Hat Yai ke Padang Besar turut akan singgah di dua stesen perantaraan iaitu Stesen Khlong Ngae dan Stesen Padang Besar Thailand bagi memenuhi keperluan penumpang yang terdiri daripada penduduk tempatan dan pelancong yang sering menggunakan laluan Hat Yai – Padang Besar setiap hari.
“Program pakatan strategik ini diharap dapat mengeratkan hubungan dua hala Malaysia Thailand dan KTMB selaku operator rel terunggul negara, katanya ketika ditemui di Stesen Padang Besar di sini.
Turut sama Gabenor SRT Wutichart Kalyanamitra yang berpeluang menggunakan perkhidmatan tersebut bersama kira-kira 230 delegasi dari Thailand termasuk petugas KTMB dan pengamal media tempatan dan antarabangsa.
Wutichart sebelum itu merasmikan kompleks Stesen KTM Padang Besar Thailand yang baharu sebelum mencuba perkhidmatan shuttle DRC dari stesen di Thailand ke Padang Besar seterusnya dibawa ke Stesen Alor Setar menggunakan perkhidmatan tren elektrik (ETS) khas.
Ketika ditemui pada sidang media, Wutichart berkata tidak kurang daripada 400 pengguna bakal menikmati kemudahan shuttle antara laluan Hat Yai dan Padang Besar setiap hari.
Perkhidmatan ini dapat mengurangkan tempoh perjalanan kedua-dua laluan yang mengambil masa antara satu hingga dua jam melalui kenderaan darat lain seperti bas atau kereta dan kos perjalanan sehala hanya THB80 sahaja, katanya.
Wutichart berkata perkhidmatan itu bukan sahaja memberi faedah kepada rakyat tempatan yang mempunyai keluarga sama ada di utara Malaysia mahupun selatan Thailand, malah mengukuhkan lagi hubungan dan persefahaman antara KTMB dan STR yang sedia terjalin sejak 30 tahun lalu.